Empat ditahan kes curi kabel MRT Laluan Putrajaya

FOTO HIASAN / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Empat individu ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel di laluan MRT Putrajaya menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi berdasarkan maklumat risikan dan intipan antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan pasukan PDRM IPK Selangor.
  • Kecurian kabel di dekat Stesen Sri Damansara Barat menyebabkan gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari, menjejaskan ribuan pengguna.
  • Prasarana akan memperkukuh keselamatan termasuk rondaan, pemantauan dan kerjasama strategik, serta menggesa orang ramai menyalurkan maklumat.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menerusi satu kenyataan memaklumkan, tangkapan itu hasil maklumat risikan serta intipan yang digerakkan secara bersama oleh Unit Polis Bantuan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan pasukan PDRM dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Kesemua suspek berusia antara 30 hingga 45 tahun itu turut dibawa ke lokasi kejadian bagi tujuan pengecaman serta membantu siasatan berkaitan barang kes yang ditemukan.

“Tangkapan berkenaan dibuat susulan laporan polis yang dikemukakan oleh Prasarana berhubung kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Sri Damansara Barat pada 3 Mac lalu.

“Insiden tersebut menyebabkan gangguan kepada operasi perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya selama tiga hari sekali gus menimbulkan kesulitan kepada ribuan pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana,” menurut kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata kerjasama erat antara Unit Polis Bantuan Prasarana dan PDRM akan terus diperkukuhkan menerusi usaha pemantauan, intipan serta perkongsian maklumat secara berterusan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan PDRM dan IPK Selangor atas tindakan pantas serta profesional dalam memberkas suspek dan membantu mempercepatkan proses siasatan.

Pada masa sama, Prasarana akan terus memperkukuh langkah keselamatan di sepanjang jajaran MRT Laluan Putrajaya termasuk meningkatkan rondaan keselamatan, pemantauan serta kerjasama strategik dengan pihak berkuasa.

Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mencurigakan yang boleh menjejaskan keselamatan kemudahan pengangkutan awam negara.