Pengalaman rakyat terkandas di zon Konflik Asia Barat

Foto RTM

JEDDAH, 11 Mac – Perjalanan pulang ke tanah air menjadi satu pengalaman yang tidak akan dilupakan bagi rakyat Malaysia yang terkandas di Asia Barat susulan konflik di rantau tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan melaksanakan operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas dan menanggung sepenuhnya kos perjalanan.
  • Pengalaman cemas termasuk mendengar letupan, melihat jet pejuang dan bunyi siren amaran yang memaksa mereka bersembunyi.
  • Warga terkesan terharu dengan komitmen pihak kedutaan dan konsulat yang proaktif memberi maklumat serta mengurus penyelamatan.

Dalam perjalanan dari Jeddah ke Malaysia, beberapa penumpang berkongsi detik cemas, kebimbangan serta rasa syukur mereka apabila akhirnya dapat pulang dengan bantuan kerajaan Malaysia.

Bagi Koordinator Logistik, Mohd Tarmimi Tarmizi, 39 tahun, situasi yang dihadapinya bermula apabila penerbangan pulang ke Malaysia dari Doha yang dijadualkan pada 7 Mac lalu dibatalkan.

Beliau yang berada di Doha atas urusan kerja selama sebulan pada awalnya cuba mendapatkan penerbangan alternatif melalui Qatar Airways, namun semua penerbangan ketika itu turut dibatalkan.

“Pada awalnya kami tertanya-tanya sama ada kerajaan Malaysia mengumumkan akan membawa pulang rakyat yang terkandas di Asia Barat ini benar-benar akan dilaksanakan atau tidak. Namun akhirnya kerajaan melaksanakan operasi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas.

“Perkara yang lebih menggembirakan ialah segala kos perjalanan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Saya sebenarnya sudah bersedia dari segi kewangan untuk membeli tiket sendiri sekiranya perlu. Apabila saya menyemak harga tiket dari Riyadh ke Malaysia, harganya hampir RM10,000. Pada mulanya saya merasakan agak sukar untuk kerajaan menanggung kos tersebut, namun akhirnya kerajaan benar-benar menanggung semuanya,” jelasnya.

Tarmimi turut berkongsi mengenai pengalaman menyaksikan jet pejuang di ruang udara serta mendengar letupan bom pada waktu malam.

“Telefon kami juga mengeluarkan bunyi siren amaran supaya semua orang masuk ke dalam rumah dan tidak keluar. Kami memang takut kalau serpihan bom jatuh,” katanya.

Bagi Penjawat Awam, Mohd Idham Mohd Nor, 42 tahun, usaha pihak kerajaan dan wakil kedutaan dalam menguruskan rakyat Malaysia yang terkandas amat membanggakan.

“Saya amat terharu dan kagum dengan komitmen mereka untuk mengumpul maklumat dan mendapatkan semua informasi berkaitan rakyat Malaysia yang terkandas, bukan sahaja jemaah tetapi juga pekerja-pekerja kita di Timur Tengah,” katanya.

Sementara itu, Peniaga, Radiah Hassan, 40 tahun mengakui perasaan risau lebih dirasai kerana beliau berada di sana bersama anak-anak.

Keadaan yang tidak stabil di kawasan tersebut menyebabkan beliau sentiasa memantau dan mencari penerbangan yang paling hampir untuk pulang ke Malaysia.

Namun, perasaan bimbang itu sedikit reda apabila pihak konsulat mula menghubungi mereka dan memberikan perkembangan terkini mengenai usaha membawa pulang rakyat Malaysia.