
KUALA LUMPUR, 2 Mac – Kerajaan menetapkan sasaran melahirkan sekurang-kurangnya 10 syarikat semikonduktor tempatan dengan perolehan mencecah AS$1 bilion selain 100 syarikat berpendapatan RM1 bilion menerusi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
- Kerajaan target 10 syarikat semikonduktor tempatan capai perolehan AS$1 bilion melalui Strategi Semikonduktor Nasional.
- Matlamat melahirkan local champion yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
- Fokus membangunkan ekosistem komprehensif melibatkan huluan hingga hiliran, termasuk reka bentuk IC dan pembungkusan termaju.
- Pemerkasaan syarikat tempatan diharap tingkatkan daya saing dalam rantaian bekalan global dan sokong transformasi ekonomi.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata, langkah itu merupakan strategi utama kerajaan untuk memupuk syarikat tempatan menjadi ‘local champion’ yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
“Inisiatif ini sebahagian daripada strategi untuk melahirkan pemain utama tempatan yang berupaya bersaing di peringkat global, selaras dengan sasaran nasional untuk menempatkan 10 syarikat Malaysia dalam kelompok 100 syarikat semikonduktor terkemuka dunia,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Wu Him Ven di Dewan Negara, hari ini.
Sim memaklumkan, kerajaan tidak mahu hanya bergantung kepada pelaburan syarikat multinasional (MNC) semata-mata, sebaliknya mahu membangunkan ekosistem industri yang lebih komprehensif dengan penyertaan kukuh syarikat tempatan daripada peringkat huluan hingga hiliran.
Katanya, syarikat tempatan perlu diperkasakan dalam aktiviti bernilai tinggi termasuk reka bentuk litar bersepadu, pembuatan wafer, pembungkusan termaju serta perkhidmatan sokongan teknologi.
“Dengan mempunyai syarikat tempatan yang kukuh, kita dapat mewujudkan ekosistem yang lebih menyeluruh.
Kita tidak boleh hanya menarik pelabur luar sahaja, tetapi kita harus memupuk supaya syarikat kita boleh buat IC design, dia boleh buat packaging, daripada upstream sampai ke downstream,” katanya.
Bagi tempoh Januari 2024 hingga September 2025, sektor semikonduktor negara merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM59.85 bilion, merangkumi pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM56.8 bilion dan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM3.05 bilion.
Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju industri di bawah NSS yang memberi tumpuan kepada peralihan daripada aktiviti ‘back-end’ kepada segmen ‘front-end’ serta aktiviti bernilai tambah tinggi.
Kerajaan yakin pendekatan memperkukuh syarikat tempatan sebagai peneraju industri akan meningkatkan daya saing negara dalam rantaian bekalan global, sekali gus menyumbang kepada aspirasi transformasi ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.