Puasa: Rahsia sains di sebalik ‘pembersihan’ sel dan fitrah manusia

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Puasa mengaktifkan autofagi, membersihkan sel daripada komponen rosak untuk dikitar semula menjadi tenaga.
  • Peralihan kepada pembakaran lemak menghasilkan keton, menambahbaik profil kolesterol dan kesihatan jantung.
  • Puasa mengubah mikrobiom dan komposisi air liur, memperkuatkan imun, melindungi saluran darah, dan meningkatkan fokus minda.

Bagi umat Islam, bulan Ramadan adalah madrasah kerohanian yang mendidik jiwa untuk menahan diri daripada makan dan minum bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari. Namun, jika kita melihat melalui lensa perubatan moden, puasa sebenarnya bukan sekadar ritual keagamaan tetapi merupakan satu bentuk terapi kesihatan yang paling luar biasa buat tubuh manusia.

Amalan ini, yang sering dikaji oleh saintis Barat melalui konsep puasa berkala, membuktikan bahawa aturan yang ditetapkan oleh Pencipta sentiasa selari dengan keperluan biologi hamba-Nya.

Di sinilah letaknya keindahan epistemologi tauhidik, di mana kita menyedari bahawa setiap perintah agama mempunyai hikmah kesihatan yang mendalam sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada makhluk-Nya.

Salah satu rahsia terbesar yang tersirat di sebalik puasa ialah proses pembersihan sel yang dikenali sebagai autofagi. Istilah ini berasal daripada bahasa Yunani yang secara ringkasnya bermaksud “sel memakan dirinya sendiri.” Apabila kita berpuasa dan tubuh tidak lagi menerima kalori makanan dalam tempoh tertentu, badan kita secara automatik bertukar ke mod bertahan hidup.

Dalam keadaan ini, sel-sel badan yang bijak akan mula mengumpul dan “memakan” komponen sel yang sudah lama, rosak, atau toksik untuk dikitar semula menjadi tenaga baharu. Penemuan ini sangat hebat sehingga saintis Jepun, Yoshinori Ohsumi, dianugerahkan Hadiah Nobel pada tahun 2016.

Ini membuktikan bahawa tubuh kita mempunyai sistem “kitar semula” semula jadi yang hanya akan diaktifkan secara optimum apabila kita memberi ruang kepada perut untuk berehat daripada terus memproses makanan.

Selain membersihkan sel, puasa juga bertindak sebagai suis yang mengubah cara tubuh kita memproses tenaga. Biasanya, badan kita bergantung sepenuhnya pada glukosa daripada makanan sebagai sumber tenaga.

Namun, setelah berpuasa beberapa jam dan simpanan glukosa mula menyusut, tubuh akan terpaksa membakar lemak yang tersimpan untuk menghasilkan bahan kimia yang dipanggil keton.

Peralihan biokimia ini sangat efisien kerana pembakaran lemak bukan sahaja membantu menurunkan berat badan, tetapi juga terbukti dapat memperbaiki profil kolesterol dalam darah. Kajian menunjukkan bahawa puasa Ramadan secara signifikan menurunkan paras kolesterol jahat (LDL) dan meningkatkan kolesterol baik (HDL).

Ini secara langsung mengurangkan risiko penyakit jantung koronari, membuktikan bahawa puasa adalah cara paling murah dan berkesan untuk menjaga kesihatan jantung kita.
Menariknya, kesan puasa tidak hanya terhenti pada fizikal tetapi juga menjangkau kekuatan minda.

Walaupun ada yang merasa mengantuk atau kurang bertenaga, hakikatnya otak kita sangat menyukai bahan keton yang dihasilkan semasa pembakaran lemak.

Tenaga daripada keton ini jauh lebih stabil berbanding tenaga daripada gula. Selain itu, puasa merangsang penghasilan sejenis protein penting dalam otak yang membantu memperkuatkan daya tahan saraf terhadap tekanan dan meningkatkan kecerdasan ingatan.

Secara fitrahnya, ketika perut kosong, minda manusia sebenarnya menjadi lebih tajam dan fokus. Inilah amanah yang perlu kita jaga, iaitu menggunakan tempoh puasa untuk meningkatkan kualiti pemikiran dan ketenangan jiwa.

Keajaiban puasa ini turut menjangkau ke kawasan yang sering dianggap sebagai “keluhan” oleh sesetengah orang, iaitu perubahan pada aroma pernafasan. Secara biologi, apabila kita berpuasa, aliran air liur berkurang hampir separuh daripada biasa. Kekurangan cecair ini membenarkan pembiakan bakteria tertentu yang membebaskan gas sulfur, lantas menyebabkan nafas berbau.

Namun, di sebalik fenomena ini, sains merungkai bahawa komposisi air liur orang berpuasa sebenarnya berubah menjadi perisai biologi yang menakjubkan. Paras gula dalam air liur menjunam secara mendadak, sekali gus “melaparkan” kuman penyebab kerosakan gigi dan kulat yang bergantung pada gula untuk hidup.

Lebih menarik lagi, tahap nitrit dalam air liur meningkat secara semula jadi, yang kemudiannya membentuk Nitrik Oksida. Bahan ini memainkan peranan penting dalam melindungi kesihatan saluran darah jantung dan bertindak melawan jangkitan virus.

Benarlah sabda Baginda Nabi SAW bahawa bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada kasturi di sisi Tuhan; rupa-rupanya dari sudut perubatan, ia menyimpan rahsia pertahanan tubuh yang luar biasa.

Bukan itu sahaja, puasa turut mencetuskan revolusi kepada trilion bakteria baik di dalam saluran pencernaan kita, atau dikenali sebagai mikrobiom usus. Kajian mendapati bahawa amalan puasa berkala mengubah suai komposisi bakteria ini ke arah yang sangat menyokong kekuatan sistem imun dan metabolisme badan.

Bakteria baik yang tercetus akibat rutin berpuasa ini bahkan mampu merangsang pertukaran “lemak jahat” yang menyimpan kalori kepada “lemak baik” yang membakar tenaga.

Ini bermakna, berpuasa bukan sekadar merehatkan usus, tetapi ia umpama menghantar tentera bakteria baik ke kem latihan untuk melindungi tubuh kita daripada krisis obesiti dan masalah kesihatan kronik yang lain.

Sebagai kesimpulan, perintah berpuasa bukan sekadar satu ujian untuk menahan lapar dan dahaga, tetapi ia adalah satu anugerah biologi bagi memulihkan semula fungsi organ tubuh manusia secara menyeluruh. Ia adalah proses “format semula” atau reset tubuh yang paling selamat dan diiktiraf secara saintifik.

Ternyata, dengan memahami kaitan antara sains dan fitrah, kita akan lebih menghargai bulan Ramadan bukan sahaja sebagai bulan ibadah, tetapi sebagai bulan penyembuhan fizikal, mental, dan spiritual yang tiada galang gantinya.

Amanah kesihatan yang diberikan oleh Tuhan ini haruslah kita jaga dengan penuh kesyukuran melalui amalan puasa yang berkualiti.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
e-mel: azrilshahreez@iium.edu.my


Prof Madya Dr Roslina Abdul Rahim
Pensyarah Fisiologi
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia