Ramadan atau pesta kapitalis?

Foto hiasan/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramadan sering dikomersialkan, menjadikan persiapan raya lebih fokus pada penampilan dan pembelian berbanding nilai rohani.
  • Perniagaan mengambil kesempatan dengan harga mahal, penipuan label dan pemasaran agresif, menjejaskan integriti dan amanah.
  • Pengguna perlu bersikap celik, berhati-hati dan mengutamakan kesederhanaan; peniaga pula harus berniaga dengan jujur.

Beberapa hari sahaja lagi bulan Ramadan akan menjengah tiba. Bulan yang sering dikaitkan dengan muhasabah diri, penginsafan dan penyucian jiwa itu sepatutnya disambut dengan rasa tawaduk dan persediaan rohani. Namun realiti di pusat-pusat beli-belah utama di sekitar negara, dari ibu kota hingga ke bandar sederhana, memperlihatkan suasana yang jauh berbeza.

Booth jualan baju raya tumbuh bagai cendawan selepas hujan, lampu hiasan sudah digantung, dan muzik bertemakan Syawal sudah berkumandang, seolah-olah Aidilfitri lebih utama daripada Ramadan itu sendiri. Persoalannya, adakah ini tanda kemeriahan budaya, atau simbol kepada satu pergeseran nilai yang semakin membimbangkan?

Fenomena membeli baju raya lebih awal bukanlah sesuatu yang baharu. Ramai yang sudah mula berbelanja dengan alasan takut kehabisan stok, risau saiz tidak lagi tersedia, atau bimbang ketinggalan trend terkini. Dalam era media sosial yang menobatkan visual sebagai ukuran status, baju raya bukan lagi sekadar pakaian untuk menyambut 1 Syawal, tetapi menjadi lambang identiti, pengiktirafan sosial dan kadang kala ukuran kejayaan.

Tidak hairanlah, ada yang sanggup berbelanja besar demi memastikan penampilan “seiring” dengan arus semasa. Namun, di sebalik keghairahan itu, timbul persoalan yang lebih mendasar: adakah kita membeli kerana keperluan, atau kerana tekanan sosial yang halus tetapi menekan?

Lebih meresahkan, harga baju raya yang dipasarkan kini semakin meningkat. Ada yang mencecah ratusan ringgit sepasang, dengan alasan potongan eksklusif, fabrik premium dan rekaan terhad. Tidak dinafikan, terdapat jenama tempatan yang benar-benar menitikberatkan kualiti jahitan, pemilihan kain serta nilai estetika yang tinggi.

Usaha ini wajar dihargai kerana ia menyumbang kepada pertumbuhan industri fesyen tempatan dan membuka peluang pekerjaan. Namun dalam masa yang sama, wujud juga segelintir pihak yang mengambil kesempatan.

Produk dibeli secara dalam talian dengan harga puluhan ringgit, ditukar label atau “tagging”, lalu dijual semula pada harga berlipat kali ganda tanpa penjelasan telus tentang kualiti sebenar. Tindakan sebegini bukan sahaja menyalahi etika perniagaan, malah mencemarkan roh kejujuran yang sepatutnya menjadi asas dalam setiap transaksi.

Dalam konteks Malaysia, Aidilfitri bukan sekadar perayaan kebudayaan, tetapi sambutan keagamaan yang sarat dengan nilai spiritual. Selepas sebulan berpuasa, umat Islam meraikan kemenangan melawan hawa nafsu, memperbanyakkan sedekah dan mengeratkan silaturahim.

Jika Ramadan ialah madrasah tarbiah, maka Syawal adalah pentas mempraktikkan hasil didikan tersebut. Justeru, apabila bulan penuh keberkatan ini didahului dengan perlumbaan membeli-belah dan pertunjukan gaya hidup mewah, timbul dilema nilai yang wajar direnungkan bersama. Apakah kita sedang menyambut kemenangan rohani, atau sebenarnya meraikan kemenangan pasaran?

Istilah “bulan kapitalis” mungkin kedengaran keras, namun realiti komersialisasi perayaan bukanlah sesuatu yang boleh dinafikan. Dalam sistem ekonomi pasaran bebas, permintaan tinggi akan mendorong penawaran yang agresif. Pusat beli-belah dan platform e-dagang tentunya melihat musim perayaan sebagai peluang meningkatkan jualan.

Strategi pemasaran dimulakan lebih awal bagi mencipta rasa mendesak dalam kalangan pengguna. Diskaun masa terhad, stok terhad dan pelancaran koleksi eksklusif menjadi taktik psikologi yang berkesan. Dalam keadaan ini, pengguna mudah terperangkap dalam kitaran “fear of missing out” tanpa sedar bahawa keputusan pembelian mereka lebih dipacu emosi berbanding rasional.

Namun tanggungjawab tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu peniaga. Pengguna juga memegang peranan penting dalam menentukan arah pasaran. Jika permintaan terhadap barangan berharga melampau terus meningkat, maka penawaran akan terus menyesuaikan diri dengan pola tersebut.

Oleh itu, sikap berhati-hati dan celik pengguna amat diperlukan. Meneliti maklumat produk, membandingkan harga, membaca ulasan sebenar dan memastikan kesahihan jenama adalah langkah asas yang tidak boleh dipandang ringan. Jangan sampai sudah tertunduk kerana tertipu, barulah mahu mendongak mencari kesedaran.

Dalam masa yang sama, peniaga juga wajar bermuhasabah. Keuntungan adalah lumrah dalam perniagaan, tetapi keuntungan tanpa integriti hanya akan menghakis kepercayaan jangka panjang. Dalam Islam, perniagaan yang berkat ialah perniagaan yang jujur dan telus.

Menyembunyikan maklumat sebenar produk, menukar label demi mengaut margin melampau, atau memanipulasi persepsi pelanggan adalah bentuk pengkhianatan halus yang mungkin tidak terlihat di mata manusia, tetapi jelas dalam timbangan nilai moral. Ramadan sepatutnya menjadi medan memperkukuh amanah, bukan ruang menguji sejauh mana keuntungan boleh digandakan.

Akhirnya, isu ini bukan sekadar tentang baju raya atau harga yang mahal. Ia menyentuh persoalan yang lebih besar tentang arah nilai masyarakat kita. Adakah kesederhanaan masih menjadi prinsip, atau telah diganti dengan budaya pamer dan persaingan tidak sihat? Adakah kita menyambut Ramadan sebagai bulan mendidik jiwa, atau sebagai musim jualan terbesar dalam kalendar tahunan?

Di tengah kilauan lampu hiasan dan lambakan koleksi baharu, mungkin kita perlu berhenti sejenak, menyoal diri dengan jujur. Ketika kita sibuk memilih warna dan potongan kain, apakah kita juga sedang memilih nilai yang akan kita bawa ke dalam Syawal nanti, atau tanpa sedar kita telah membiarkan pasaran menentukan erti kemenangan yang sebenar?

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Mohd Yusof Zulkefli
Pensyarah Kanan
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media
Universiti Teknologi MARA, Shah Alam