
BRUSSELS, 9 Februari – Kesatuan Eropah (EU) mengarahkan Meta memberi akses kepada chatbot pesaing untuk berhubung dengan pengguna melalui WhatsApp selepas siasatan undang-undang persaingan mendapati syarikat itu berkemungkinan melanggar peraturan.
- EU mengarah Meta beri akses kepada chatbot pesaing untuk berhubung dengan pengguna WhatsApp.
- Perubahan syarat Meta sejak Januari didakwa menghalang penggunaan platform oleh pembantu AI pihak ketiga.
- EU pertimbang langkah sementara untuk pastikan akses pesaing dikekalkan sepanjang siasatan.
- Meta terima amaran rasmi dan menolak penemuan awal, sambil hadapi siasatan lain di EU.
Suruhanjaya Eropah memaklumkan perubahan syarat Meta sejak Januari lalu didakwa “secara berkesan” menghalang pembantu kecerdasan buatan (AI) pihak ketiga daripada menggunakan platform mesej tersebut.
Ketua persaingan EU, Teresa Ribera berkata pihaknya mempertimbangkan langkah sementara terhadap Meta bagi memastikan akses pesaing dikekalkan sepanjang siasatan, sekali gus mengelakkan persaingan di Eropah terjejas.
Meta telah menerimaamaran rasmi dalam siasatan berkenaan, dan kini diberi peluang menjawab dakwaan tersebut.
Bagaimanapun, syarikat itu menolak penemuan awal EU dan menegaskan tiada keperluan untuk campur tangan.
Siasatan yang dibuka Disember lalu meliputi Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) kecuali Itali, yang menjalankan siasatan berasingan.
EU berpandangan Meta berkemungkinan dominan dalam aplikasi pemesejan pengguna dan didakwa menyalahgunakan kedudukan itu dengan menafikan akses kepada pesaing.
Meta turut berdepan beberapa siasatan lain di EU, termasuk isu ketagihan media sosial kanak-kanak di Facebook dan Instagram serta rayuan terhadap denda 200 juta euro bawah Akta Pasaran Digital. – AFP