Penolong Pengurus rugi lebih RM1.3 juta angkara “phone scam”

Foto hiasan

KUANTAN, 9 Februari -Seorang penolong pengurus mengalami kerugian lebih RM1.3 juta akibat penipuan melalui panggilan telefon (phone scam) pada Disember tahun lepas

RINGKASAN BERITA AI
  • Penelepon menyamar sebagai wakil syarikat kurier untuk menakutkan mangsa mengenai bungkusan berisi barangan terlarang.
  • Suspek sambungkan panggilan kepada penyamar pegawai polis yang mendakwa perlu siasat sumber kewangan mangsa.
  • Mangsa diarahkan keluarkan wang KWSP dan pelaburan lalu pindahkan ke tiga akaun bank yang diberikan suspek.
  • Lima transaksi dibuat Disember hingga Januari, laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata dalam kenyataan berkata, wanita berumur 55 tahun itu menerima panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali yang mendakwa daripada sebuah syarikat perkhidmatan kurier.

Panggilan itu memaklumkan bahawa mangsa kononnya menerima satu bungkusan mengandungi barangan terlarang.

“Panggilan tersebut kemudian disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek telah memperdaya mangsa dengan mendakwa wang simpanannya perlu disiasat bagi mengenal pasti sumber kewangan yang menyebabkan wanita itu berasa takut dan cemas.

“Mangsa seterusnya telah diarahkan untuk mengeluarkan wang simpanan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta pelaburan Public Mutual, sebelum memasukkan wang itu ke dalam tiga akaun bank yang diberikan oleh suspek,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau berkata, mangsa telah membuat lima transaksi pemindahan wang dalam tempoh 24 Disember 2025 hingga 4 Januri 2026, namun mangsa hanya menyedari telah ditipu selepas gagal menghubungi suspek apabila nombor telefon tersebut disekat.

Datuk Seri Yahaya berkata mangsa telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.