RSP harap diperluas, bantu lebih ramai penduduk miliki rumah

FOTO Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong

KABONG, 7 Februari – Projek Rumah Spektra Permata (RSP) di Kabong diharap dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain bagi membantu lebih ramai rakyat memiliki kediaman sendiri.

RINGKASAN BERITA AI
  • RSP meningkatkan kesejahteraan komuniti dengan menyediakan kediaman selesa dan berkualiti untuk penduduk luar bandar.
  • Projek Skim Pembesaran Kampung Hulu Kabong serah kunci kepada 34 bakal pemilik, tunjukkan pelaksanaan program di peringkat tempatan.
  • Pembangunan 50 unit rumah dua tingkat guna Sistem Binaan Berindustri menawarkan reka bentuk moden, praktikal dan fasiliti lengkap keluarga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Datuk Mohd Chee Kadir, berkata inisiatif itu bukan sahaja memberi peluang pemilikan rumah kepada penduduk setempat, malah turut menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan komuniti.

“Pelaksanaan projek perumahan RSP mencerminkan komitmen kerajaan dalam menyediakan kediaman selesa dan berkualiti kepada rakyat, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci Projek RSP Skim Pembesaran Kampung Hulu Kabong, Betong, yang melibatkan seramai 34 bakal pemilik rumah.

Projek RSP Hulu Kabong melibatkan pembinaan 50 unit rumah dua tingkat dengan keluasan 800 kaki persegi setiap unit yang dibina menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS).

Setiap unit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, dapur dan anjung kereta serta direka dengan konsep moden dan praktikal bagi memenuhi keperluan seisi keluarga.