Gudang di Jalan Kebun Sultan musnah 80 peratus dalam kebakaran

Kebakaran turut melibatkan beberapa aset di lokasi termasuk sebuah forklift, sebuah motosikal dan dua buah lori

KOTA BHARU, 2 Februari – Sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan Kota Bharu, Kelantan musnah kira-kira 80 peratus dalam satu kebakaran malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus struktur gudang menyimpan barangan runcit di Jalan Kebun Sultan.
  • Tiada mangsa dilaporkan kerana premis ditutup sejak jam 6 petang sebelum kejadian.
  • Aset di lokasi turut terlibat termasuk sebuah forklift, sebuah motosikal dan dua buah lori.
  • Operasi pemadaman melibatkan beberapa balai bomba dan JBPM mengesahkan tiada lagi punca api sebelum serahan lokasi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba II Zuzuki Safei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.09 malam, sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu digerakkan ke lokasi dan tiba tujuh minit kemudian.

Kebakaran melibatkan sebuah gudang menyimpan barangan runcit.

Kira-kira 80 peratus struktur gudang terbakar, manakala nilai keseluruhan kerugian masih dalam penilaian.

Beliau berkata, kebakaran itu turut melibatkan beberapa aset di lokasi termasuk sebuah forklift, sebuah motosikal dan dua buah lori.

Tambahnya, gudang berkenaan tidak beroperasi ketika kejadian kerana operasi premis telah ditutup sekitar jam 6 petang, sekali gus mengelakkan sebarang kecederaan kepada pekerja.

Operasi pemadaman membabitkan keanggotaan dari BBP Kota Bharu, dengan bantuan BBP Kota Darulnaim, BBP Tunjung serta Unit Water Tanker BBP Pengkalan Chepa.

Beliau ketika dihubungi berkata, langkah keselamatan susulan turut diambil JBPM dengan memastikan struktur bangunan berada dalam keadaan selamat serta tiada lagi punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang sebelum kawasan diserahkan kepada pihak berkaitan.

Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian terbabit.