
ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 28 Januari– Malaysia berada di landasan yang betul ke arah memperkasakan ekosistem Pendidikan dan Latihan dan Vokasional (TVET) dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI).
- Memperkukuh ekosistem TVET melalui Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 dan penyepaduan dasar berkaitan.
- Dasar TVET Negara 2030 fokus kepada teras, strategi dan inisiatif untuk memenuhi keperluan industri dan masa depan bakat.
- Perlunya pelaksanaan dasar yang serius di peringkat institusi untuk memastikan matlamat pendidikan dan pelaburan kerajaan tercapai.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Ts. Dr Abdul Rasid Abdul Razzaq berkata ekosistem TVET negara terus diperkukuh menerusi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 yang turut disepadukan dengan dasar-dasar lain termasuk Dasar TVET negara.
“Dasar TVET Negara 2030 yang menggariskan lima teras, 23 strategi, 67 inisiatif yang menyokong. Kita juga ada Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang meletakkan hala tuju ekonomi negara bagi sektor-sektor utama yang akan dibangunkan di Malaysia.
“Selain itu, RPTM turut memberi fokus bakat tersedia bukan sahaja untuk sekarang tetapi masa hadapan. Bakat yang kita nak lahirkan ini untuk keperluan industri kerana ia akan melonjakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju,” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadiri program wawancara Selamat Pagi Malaysia di sini hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan MADANI bertindak proaktif dengan meletakkan pendidikan sebagai pelaburan yang besar untuk masa hadapan negara yang lebih cerah.
Bagaimanapun bagi memastikan dasar-dasar yang digariskan dapat diterjemahkan dengan baik, beliau berpandangan kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap aspek pelaksanaan dasar khususnya di peringkat institusi-institusi berkaitan.