Jualan Agro MADANI catat RM80.25 juta dalam tempoh enam bulan

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri (tengah) ketika merasmikan Majlis Perasmian Karnival Jualan AgroMadani FAMA Negeri Kelantan 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, malam tadi/foto RTM

KOTA BHARU, 24 Januari – Program Jualan Agro MADANI (JAM) mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM80.25 juta dalam tempoh enam bulan sejak dilancarkan pada Julai tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jualan Agro MADANI merekodkan RM80.25 juta dalam enam bulan sejak pelancaran, menunjukkan keberkesanan inisiatif kerajaan.
  • Program dijalankan tanpa perantara, melibatkan 52,641 pengeluar terus seperti petani dan penternak, meningkatkan pendapatan usahawan.
  • JAM menjana penjimatan pengguna RM21.80 juta dan mencapai 4.26 juta pengunjung, manfaat dianggarkan kepada 16.72 juta isi rumah.

Sekali gus membuktikan keberkesanannya sebagai inisiatif berimpak tinggi kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat serta memperkukuh rantaian pemasaran agromakanan negara.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri, berkata sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 4,539 program JAM berjaya dilaksanakan daripada sasaran 5,000 program di seluruh negara.

Menurut beliau, pelaksanaan program tersebut turut menjana penjimatan kepada pengguna berjumlah RM21.80 juta, hasil konsep jualan terus daripada pengeluar kepada pengguna yang membantu mengekalkan harga pada tahap lebih berpatutan serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

“Dari segi pencapaian, kita tidak menghadapi sebarang masalah dan telah mencapai sasaran dengan baik, malah dalam beberapa aspek melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menegaskan, JAM dilaksanakan tanpa penglibatan perantara pasaran, sebaliknya melibatkan terus petani dan penternak sebagai pengeluar utama.

“Kita tidak menggunakan orang tengah, sebaliknya pengeluar sendiri seperti penanam dan penternak terlibat secara langsung dalam program ini,” katanya.

Sepanjang tempoh tersebut, seramai 52,641 usahawan terlibat secara langsung merangkumi sektor produk segar, industri asas tani, makanan siap serta florikultur, sekali gus membuka peluang pasaran yang lebih luas dan meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.

Dari segi capaian rakyat, program ini merekodkan kehadiran 4.26 juta pengunjung, manakala manfaat isi rumah dianggarkan melibatkan 16.72 juta orang di seluruh negara, mencerminkan tahap penerimaan tinggi rakyat terhadap JAM sebagai alternatif mendapatkan bekalan makanan pada harga stabil dan mampu milik.

Abdul Rashid berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Jualan Agro MADANI @ Kelantan 2026 di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong, di sini, malam tadi.

Menurut beliau, JAM merupakan inisiatif di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dilaksanakan melalui FAMA dengan kerjasama pelbagai agensi, meliputi penganjuran karnival, jualan di dalam dan luar premis FAMA serta program khas di lokasi tumpuan rakyat.

Antara tarikan utama karnival yang berlangsung selama empat hari bermula 21 Januari lalu ialah Jualan Istimewa Kombo MADANI, yang menawarkan barangan keperluan asas seperti telur, ayam, daging, sayur-sayuran, tempe dan rebung pada harga promosi serendah RM5 hingga RM10, selain pelaksanaan konsep Happy Hour dan jualan terhad sempena hari perasmian.

Nilai jualan keseluruhan sebanyak RM1.5 juta disasarkan sepanjang empat hari penganjuran karnival, dengan jangkaan kehadiran 50,000 pengunjung.

Sasaran tersebut mencerminkan potensi Program Jualan Agro MADANI sebagai platform berimpak tinggi dalam merancakkan aktiviti jual beli produk agromakanan serta menyokong pertumbuhan ekonomi usahawan tempatan.