Tenis Terbuka Australia: Medvedev lolos ke pusingan kedua

Bintang tenis Rusia, Daniil Medvedev mara ke pusingan kedua Terbuka Australia/AFP

MELBOURNE, 19 Januari – Finalis tiga kali Terbuka Australia, Daniil Medvedev berkata beliau kini berusaha untuk lebih positif di gelanggang selepas berjaya mengawal emosinya ketika menewaskan Jesper de Jong pada pusingan pertama.

RINGKASAN BERITA AI
  • Daniil Medvedev mara ke pusingan kedua Terbuka Australia selepas menewaskan Jesper de Jong dalam tiga set.
  • Medvedev berusaha kekal lebih positif dan berjaya mengawal emosinya di gelanggang.
  • Servisnya dipatahkan dua kali, menunjukkan prestasi belum sepenuhnya meyakinkan.
  • Beliau kini berlatih dengan Thomas Johansson dan Rohan Goetzke selepas berpisah dengan jurulatih lama.

Pemain Rusia itu menang 7-5, 6-2, 7-6 (7/2) di Arena Margaret Court dalam cuaca panas, dan akan berdepan pemain kelayakan Perancis, Quentin Halys di pusingan kedua.

Namun, prestasinya tidak begitu meyakinkan apabila servisnya dipatahkan sebanyak dua kali ketika dia berpeluang menamatkan perlawanan.

Pada perlawanan tersebut, Medveded menunjukkan disiplin lebih baik berbanding tahun lalu, ketika didenda akibat memusnahkan raket dan kamera jaring.

“Saya benar-benar berusaha untuk lebih positif di gelanggang.

Setakat ini saya lakukannya dengan baik,” katanya.

“Tetapi saya bukan jenis yang berkata ‘okay, selepas ini saya takkan marah lagi’. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku, tetapi saya cuba kekal positif, sama seperti kehidupan saya”, jelas Medveded.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, kini menghuni ranking ke-12, tiba di Melbourne selepas memenangi kejohanan Brisbane International sebagai persediaan memburu gelaran sulung Terbuka Australia.

Medvedev, juara Terbuka Amerika Syarikat 2021, telah mara ke tiga daripada lima final terakhir di Melbourne.

Beliau tewas kepada Novak Djokovic pada 2021, sebelum kekalahan perit kepada Rafael Nadal pada 2022 dan tumbang kepada Jannik Sinner pada 2024 selepas mendahului dua set.

Tahun lalu, beliau tersingkir seawal pusingan kedua, diikuti kekalahan pusingan pertama di ketiga-tiga kejohanan Grand Slam yang lain.

“Saya jarang melihat ke belakang. Apa yang berlaku tahun lalu sudah berlaku, dan itu normal,” katanya.

“Ia sebahagian daripada karier dan kehidupan. Saya masih berjaya tamatkan musim di ranking 12 atau 13, dan itu sudah cukup baik bagi ramai pemain”, jelasnya.

Medvedev kini berlatih dengan bekas juara Terbuka Australia, Thomas Johansson dan Rohan Goetzke, selepas berpisah dengan jurulatih lama, Gilles Cervara.

“Ia sedikit berbeza tetapi memberikan nafas baharu. Saya berasa baik dan cergas ketika berada di gelanggang,” katanya. – AFP