
SAUDARA PENGARANG
- Setiausaha Akhbar kini berperanan strategik memimpin komunikasi kementerian dalam era digital dan AI.
- Perlu kebolehan kawal kualiti maklumat, urus krisis dan bekerjasama dengan media serta pakar teknologi.
- Pelaburan latihan dan pengiktirafan kepakaran komunikasi penting untuk mengekalkan legitimasi dan kepercayaan awam.
Jawatan dan peranan Setiausaha Akhbar (SUA) kepada menteri atau pemimpin adalah satu komponen kritikal dalam memastikan kestabilan komunikasi kerajaan, penyelarasan dasar awam dan pembinaan kepercayaan rakyat terhadap institusi pentadbiran negara.
Dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI) yang membentuk semula cara maklumat disebarkan, menjadikan peranan SUA bukan bersifat teknikal atau penyampai kenyataan rasmi dan pengurus sidang media, tetapi berkembang lebih jauh.
Fungsi Strategik SUA Sebagai Tonggak Komunikasi Kerajaan-Rakyat
Seiring perkembangan teknologi, jawatan SUA telah berkembang menjadi fungsi strategik yang memerlukan kombinasi kepimpinan komunikasi, keupayaan membuat penilaian dasar serta kecekapan mengurus persepsi awam dalam persekitaran maklumat yang bergerak pantas dan sering tidak terkawal.
Dalam era media sosial, berita tidak lagi menunggu sidang media. Naratif terbentuk dalam masa beberapa minit, malah kadangkala beberapa saat melalui platform digital, kandungan menjadi tular dalam masa pantas sehingga membina tafsiran awam tidak berasaskan fakta.
Dalam konteks ini, SUA perlu memahami bukan sahaja bagaimana sesuatu isu dilaporkan, tetapi bagaimana ia ditafsir, disebar dan dimanipulasi dalam ekosistem digital.
Ia memerlukan kefahaman mendalam tentang psikologi khalayak, algoritma media sosial, dinamika kewartawanan digital dan kitaran berita 24 jam supaya langkah strategik dapat dilaksanakan untuk mengimbangi penyebaran berita tidak tepat dalam kalangan rakyat.
Ini kerana, SUA berperanan sebagai pemimpin yang membimbing pasukan komunikasi, menyelaras mesej antara agensi, serta memastikan setiap kenyataan awam menyokong matlamat strategik kementerian dan kerajaan secara keseluruhan untuk menepis sebarang berita palsu yang menjejaskan kerajaan.
Kajian komunikasi politik menunjukkan bahawa SUA juga bertindak sebagai penasihat strategik kepada menteri dalam merangka pendekatan komunikasi, penyediaan ucapan dan pengurusan imej awam.
Ini bermakna, mereka tidak hanya mengulang pendirian dasar, tetapi membantu membentuk bagaimana sesuatu dasar difahami oleh rakyat. Bagi melaksanakan fungsi strategik ini, SUA bukan sahaja perlu memahami isi dasar, tetapi implikasi sosial, ekonomi dan politik yang akan mempengaruhi penerimaan awam.
Tanpa kefahaman menyeluruh ini, komunikasi berisiko menjadi defensif, bercanggah atau gagal meredakan kebimbangan masyarakat berkaitan sesuatu isu misalnya. Dan lebih penting, SUA memahami bahawa komunikasi yang lemah boleh menggagalkan dasar yang baik.
Oleh itu, peranan Setiausaha Akhbar harus dilihat sebagai sebahagian daripada rantaian kepimpinan pentadbiran yang menyokong keberkesanan pelaksanaan dasar.
Dalam tugasan harian, SUA turut berfungsi sebagai “penapis” dan menguruskan aliran maklumat antara kementerian dan pihak media, termasuk meluluskan siaran media, menyelaras permintaan temu bual dan memastikan ketepatan fakta sebelum disiarkan.
Era digital mewujudkan satu ekosistem di mana maklumat mudah diputar belit dan sumber tidak rasmi sering lebih pantas daripada saluran rasmi, media arus perdana memerlukan rujukan yang boleh dipercayai untuk mengesahkan fakta dan hala tuju dasar.
Di sinilah peranan Setiausaha Akhbar sebagai titik rujukan profesional menjadi semakin penting. Apabila hubungan profesional berasaskan kepercayaan dibina dengan organisasi media, SUA mampu membantu mengekalkan standard kewartawanan yang bertanggungjawab, sekali gus mengurangkan penyebaran maklumat yang mengelirukan.
Dalam hal ini, hubungan baik dengan media bukan bertujuan mengawal laporan, tetapi memastikan akses kepada fakta, konteks dan kejelasan dasar.
Peranan ini juga menuntut ketelusan, responsif dan kebolehan memberi penjelasan yang konsisten, terutamanya ketika berlaku krisis atau kontroversi yang memerlukan pengurusan komunikasi yang berhati-hati.
Walaupun peranan ini kadangkala disalah tafsir sebagai usaha menyekat akses media, realitinya ia bertujuan memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban, terutama apabila maklumat yang belum disahkan boleh mencetuskan panik awam atau menjejaskan proses pentadbiran.
Dalam persekitaran digital hari ini, satu kenyataan yang tidak tepat boleh tersebar luas dalam beberapa minit, sukar diperbetulkan walaupun penjelasan rasmi dikeluarkan kemudian.
Justeru, fungsi kawalan kualiti maklumat menjadi semakin penting bagi mengekalkan integriti komunikasi kerajaan.
Tekanan terhadap Setiausaha Akhbar sangat ketara apabila berlakunya kontroversi, krisis dasar atau isu melibatkan persepsi awam terhadap kepimpinan menteri.
Dalam situasi sedemikian, mereka berada di barisan hadapan dalam mengurus pertanyaan media, membina naratif seimbang serta melindungi reputasi institusi tanpa menafikan keperluan akauntabiliti awam.
Justeru, komunikasi pengurusan krisis memerlukan ketangkasan membuat keputusan, kebolehan membaca sentimen awam dan keupayaan menyelaras mesej antara pelbagai agensi kerajaan.
Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan percanggahan kenyataan, kekeliruan rakyat dan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan.
Dalam era AI pula, ancaman maklumat palsu, manipulasi imej dan video tiruan menambah risiko reputasi yang perlu ditangani secara teknikal dan strategik. Situasi ini menuntut SUA mempunyai celik digital tinggi serta keupayaan bekerjasama dengan pakar teknologi bagi mengenal pasti ancaman maklumat sintetik sebelum ia mencetuskan krisis kepercayaan.
Satu aspek lain yang wajar dipertingkatkan adalah peranan SUA memastikan komunikasi awam sejajar dengan realiti pelaksanaan dasar di lapangan.
Jika berlaku ketidaksepadanan antara kenyataan politik dan pengalaman rakyat boleh merosakkan kredibiliti kerajaan walaupun dasar itu sendiri mempunyai rasional yang kukuh dan impak yang baik.
Oleh itu, Setiausaha Akhbar perlu terlibat secara aktif dalam perbincangan dalaman kementerian, memahami cabaran pelaksanaan dan menyampaikan mesej yang realistik serta telus kepada masyarakat.
Pendekatan ini membantu membina kefahaman awam terhadap kekangan pentadbiran, sekali gus mengurangkan persepsi bahawa kerajaan tidak prihatin terhadap realiti rakyat. Dalam erti kata lain, SUA berperanan sebagai penyambung antara dasar, pelaksanaan dan persepsi awam.
Sebagai pegawai komunikasi kanan kepada menteri, SUA boleh mempengaruhi budaya kerja komunikasi dalam keseluruhan organisasi kementerian. Standard profesional, etika media dan disiplin mesej yang diamalkan akan menjadi rujukan kepada unit komunikasi di jabatan dan agensi berkaitan.
Dalam sistem pentadbiran yang kompleks, komunikasi yang tidak diselaras boleh menjejaskan keberkesanan dasar dan mencetuskan konflik antara agensi sendiri. Oleh itu, kepimpinan komunikasi yang jelas di peringkat menteri sangat penting bagi memastikan mesej kerajaan bersifat konsisten, berfakta dan berorientasikan kepentingan awam.
Skop dan tanggungjawab SUA pada hari ini semakin luas yang menuntut langkah-langkah proaktif diambil dari segi latihan komunikasi strategik berterusan, menguasai kemahiran menganalisa media, pengurusan krisis, penyampaian komunikasi dasar awam dan literasi teknologi.
Komponen-komponen ini perlu menjadi sebahagian daripada pembangunan kerjaya pegawai komunikasi peringkat tinggi dalam kerajaan.
Pelaburan dalam peningkatan kompetensi ini bukan sahaja meningkatkan kualiti komunikasi kerajaan, tetapi turut mengukuhkan daya tahan institusi terhadap krisis maklumat dan cabaran reputasi yang semakin kompleks.
Usaha memperkukuh peranan Setiausaha Akhbar sebagai sebahagian daripada kepimpinan strategik kementerian bukan sahaja satu keperluan dari sudut operasi.
Tetapi ia menjadi satu keperluan tadbir urus yang akan menentukan keupayaan kerajaan mengekalkan legitimasi dan keyakinan rakyat dalam era digital yang semakin mencabar.
Kesimpulan SUA sebagai Tonggak Kepimpinan Komunikasi
Dalam konteks pentadbiran moden dan impak teknologi digital serta AI, SUA tidak lagi berperanan sebagai sistem sokongan tetapi satu elemen strategik dalam ekosistem tadbir urus negara.
Keupayaan kerajaan untuk menjelaskan dasar secara berkesan, mengekalkan legitimasi institusi serta membina kepercayaan awam amat bergantung kepada kualiti kepimpinan komunikasi yang wujud di peringkat tertinggi kementerian.
Dengan demikian, usaha memperkukuh kapasiti profesional Setiausaha Akhbar merupakan satu pelaburan strategik dalam daya tahan institusi negara dan bukan hanya penambahbaikan operasi komunikasi.
Pendekatan ini menuntut pengiktirafan rasmi terhadap kepakaran komunikasi sebagai sebahagian daripada kompetensi kepimpinan awam, sejajar dengan keperluan pentadbiran berasaskan bukti, ketelusan dan kebertanggungjawaban.
Dalam jangka panjang, sistem komunikasi kerajaan yang kukuh dan berwibawa akan menyokong keberkesanan pelaksanaan dasar, malah menjadi asas kepada kestabilan politik dan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Justeru, memperkasa peranan Setiausaha Akhbar sebagai pemimpin komunikasi strategik menjadi satu keperluan struktur dalam menghadapi cabaran tadbir urus abad ke-21.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Khairul Anuar Abdul Malik
Felo Universiti
Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi
Universiti Utara Malaysia
e-mel: k.anuar.abdul@uum.edu.my