Kebakaran hutan di selatan Argentina musnahkan 15,000 hektar tanah

Api kelihatan marak di Gunung Pirque di El Hoyo, wilayah Patagonia, Chubut, Argentina. /AFP

BUENOS AIRES, 12 Januari – Kebakaran hutan yang melanda selatan Argentina minggu ini telah memusnahkan lebih 15,000 hektar tanah, dengan wilayah Chubut dan Santa Cruz menjadi kawasan paling terjejas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran besar di selatan Argentina memusnahkan lebih 15,000 hektar, menjejaskan Chubut dan Santa Cruz.
  • Lebih 500 anggota bomba, penyelamat dan polis dikerahkan, dengan seorang bomba sukarela dirawat di unit rawatan rapi.
  • Hujan ringan memberi sedikit kelegaan, tetapi kerajaan menegaskan situasi masih sangat kritikal dan terkait kemarau terburuk sejak 1965.

Menurut pihak berkuasa kecemasan negara itu, kebakaran besar yang masih marak berhampiran pekan Epuyen di Banjaran Andes telah memusnahkan kira-kira 11,980 hektar sejak ia bermula pada Isnin.

Dua lagi kebakaran berasingan di Chubut dan Santa Cruz turut memusnahkan sekitar 3,800 hektar, sementara satu lagi kebakaran yang tidak dinyatakan saiznya berlaku di Taman Negara Los Alerces.

Situasi yang semakin meruncing itu bagaimanapun menerima sedikit kelegaan apabila hujan mula turun di beberapa bahagian Patagonia pada petang Ahad.

Gabenor Chubut, Ignacio Torres, berkata keadaan pada pagi Ahad agak lebih tenang berbanding sebelumnya, namun menegaskan situasi keseluruhan masih berada pada tahap “sangat kritikal.”

Torres turut mengingatkan agar masyarakat tidak memandang ringan kesan perubahan iklim, sambil menyatakan wilayah itu sedang mengalami “kemarau terburuk sejak 1965.”

Lebih 500 anggota bomba, penyelamat, polis dan kakitangan sokongan dikerahkan ke lokasi-lokasi kritikal bagi memadamkan kebakaran.

Seorang anggota bomba sukarela yang bertugas di Epuyen kini dirawat di unit rawatan rapi akibat melecur teruk, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Dalam pada itu, sekitar 3,000 pelancong telah dipindahkan dari kawasan terjejas dalam beberapa hari kebelakangan ini. Sementara sekurang-kurangnya 10 rumah dilaporkan musnah dijilat api.

Sebelum ini, pada 2025 wilayah tersebut kehilangan 32,000 hektar akibat kebakaran hutan, menjadikannya antara kawasan paling berisiko tinggi di Argentina. -AFP