
KUALA LUMPUR, 16 Februari – Ribut petir dan hujan diramal melanda kebanyakan negeri di Semenanjung, pantai timur Sabah serta beberapa kawasan di Sarawak pada hari pertama Tahun Baharu Cina esok.
- Ribut petir dan hujan dijangka melanda kebanyakan negeri di Semenanjung pada hari pertama Tahun Baharu Cina.
- Pantai timur Sabah dijangka mengalami hujan, manakala beberapa kawasan pedalaman dan pantai barat juga berisiko ribut petir.
- Beberapa kawasan Sarawak termasuk Miri, Limbang, Kuching dan Sibu diramal menerima hujan atau ribut petir.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan, berdasarkan semakan di laman sesawang rasminya, ribut petir dijangka berlaku di kebanyakan kawasan pantai Perak pada sebelah pagi manakala hujan diramal melanda seluruh pedalaman Johor.
Hujan turut dijangka di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan dan Selangor.
Di Sabah, hujan diramal di Tawau dan Sandakan, manakala di Sarawak keadaan sama dijangka melibatkan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit dan Bintulu.
Pada sebelah petang, ribut petir diramal melanda Perak dan pedalaman Kedah selain kebanyakan kawasan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka serta Perlis.
MetMalaysia turut menjangkakan hujan di kebanyakan kawasan Pahang serta pedalaman Johor, Kelantan dan Terengganu.
Di Sabah, ribut petir dijangka melanda pedalaman dan pantai barat termasuk Tawau dan Sandakan, manakala Kudat diramal hujan.
Ribut petir turut dijangka melibatkan beberapa kawasan di Sarawak termasuk Miri dan Limbang.