
SINGAPURA, 17 Februari– Singapura akan mula berpuasa pada Khamis, 19 Feb, kata Mufti Singapura Dr Nazirudin Mohd Nasir.
- Mufti Singapura mengisytiharkan awal Ramadan jatuh pada Khamis, 19 Feb 2026.
- Keputusan berdasarkan kiraan hisab yang menunjukkan anak bulan tidak di atas ufuk semasa terbenam Selasa.
- Mufti mengajak umat Islam merebut peluang beribadah dengan kesyukuran, keihsanan, kesopanan dan kesantunan.
Beliau berkata mengikut kiraan hisab, anak bulan Ramadan tidak berada di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang Selasa kerana bulan telah terbenam 4 minit lebih awal daripada matahari.
Nazirudin berkata Rabu melengkapkan bulan Syaaban selama 30 hari.
“Sehubungan itu, sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal bulan Ramadan pada tahun 1447H jatuh pada lusa, Khamis, bersamaan 19 Feb 2026.
Mufti itu turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada seluruh masyarakat Islam di Singapura.
“Marilah kita merebut peluang ini untuk menjadi Muslim yang lebih cemerlang dengan ketekunan beribadah dan juga dengan kesyukuran, keihsanan, kesopanan dan kesantunan dalam urusan sesama kita,” tambahnya.- BERNAMA