Rakyat disaran berbelanja secara berhemah hadapi ketidaktentuan global

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian/RTM

KUALA LUMPUR, 2 April -Rakyat perlu bersikap lebih defensif dalam mengurus kewangan masing-masing susulan ketegangan konflik berpanjangan di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan perbelanjaan berhemah dan fokus kepada keperluan asas untuk memastikan kelangsungan hidup.
  • Buat persediaan awal menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup dan situasi luar jangka.
  • Keyakinan rakyat dibina melalui pengalaman harian; dasar perlu memberi impak nyata bukan sekadar pengumuman.
  • Laksanakan sistem komunikasi dasar yang cekap, tepat dan pantas supaya manfaat sampai kepada rakyat.

Penganalisis Politik, Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, orang ramai disarankan mengutamakan perbelanjaan secara berhemah serta memberi fokus kepada keperluan asas bagi memastikan kelangsungan hidup.

Katanya, meskipun kerajaan memberi jaminan bahawa kebajikan serta keutamaan rakyat terus dipelihara, langkah persediaan menghadapi situasi luar jangka tetap perlu dilakukan, termasuk berdepan kemungkinan kenaikan kos sara hidup.

“Keyakinan rakyat bukan dibina daripada pengumuman, tetapi melalui pengalaman harian. Hal ini menjadi asas dan tapak kekuatan untuk membolehkan kita menerima hakikat yang bersifat realistik.

“Jika dasar dapat dirasai, keyakinan akan berkembang; jika tidak, persepsi akan menjadi jurang besar yang boleh dimanipulasi sehingga membelakangkan pengalaman harian tersebut.

“Dalam konteks ini, dasar yang dibawa oleh kerajaan perlu mengguna pakai sistem aliran komunikasi yang cekap, tepat dan pantas bagi memastikan ia benar-benar dirasai oleh rakyat,” katanya kepada RTM.

Beliau berkata, usaha memastikan kestabilan ekosistem ekonomi sedia ada juga dilihat penting agar tidak terjejas, sekali gus membantu rakyat terus berdaya tahan menghadapi cabaran semasa.