Program Sejahtera MADANI : 150 KIR Bandar Tun Razak terima sumbangan

Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Seramai 150 ketua isi rumah (KIR) yang kurang bernasib baik di Bandar Tun Razak menerima sumbangan RM500 bagi persiapan Aidilfitri, menerusi Program Sejahtera MADANI: Kebajikan-Sumbangan Kasih Ihsan Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agihan menumpukan golongan asnaf berdaftar dalam sistem e-Kasih bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.
  • Sumbangan turut disalurkan kepada 200 penerima lain melalui inisiatif Ziarah Ramadan MADANI.
  • Penyerahan projek pembinaan bumbung Gelanggang Sepak Takraw bernilai RM400,000 bagi kemudahan sukan dan rekreasi komuniti.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, agihan tersebut mengutamakan golongan asnaf berdaftar dengan sistem e-Kasih bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara menjelang Aidilfitri.

“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan bagi memastikan bantuan kebajikan sampai secara terus kepada rakyat yang memerlukan,” ujarnya.

Sumbangan turut diberikan kepada 200 penerima lain dalam kalangan golongan memerlukan menerusi inisiatif Ziarah Ramadan MADANI di sekitar kawasan berkenaan.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) serta Bank Muamalat Malaysia Berhad sebagai penyumbang utama.

Dalam majlis sama, turut berlangsung penyerahan projek pembinaan bumbung Gelanggang Sepak Takraw KRT Taman Mewah bernilai RM400,000, yang bertujuan menyediakan kemudahan lebih selesa bagi aktiviti sukan dan rekreasi komuniti setempat.

Menerusi data terkini sistem e-Kasih sehingga 28 Februari 2026 seramai 1,013 KIR berada dalam kategori miskin di Parlimen Bandar Tun Razak.