
KUALA LUMPUR, 10 Mac– Ketegangan geopolitik di Asia Barat yang melibatkan Amerika Syarikat (AS)-Israel dan Iran kini mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan ekonomi global.
- Lonjakan harga tenaga membebankan kos operasi perniagaan dan kos sara hidup, menjejaskan sektor pengangkutan, logistik, pembuatan dan perkhidmatan.
- Kedudukan kewangan kerajaan tertekan; perlu perbahasan mendalam mengenai imbangan fiskal dan keputusan tuntas untuk menampung kos subsidi yang meningkat.
- Cadangan mengekalkan subsidi bersasar, memantau pasaran tenaga berterusan dan melaksanakan dasar ekonomi berhati-hati bagi memastikan daya tahan negara.
Menurut Pengerusi Institut Penyelidikan Khazanah, Dr. Nungsari Ahmad Radhi, konflik tersebut telah mengakibatkan lonjakan harga tenaga dunia, sekali gus memberi impak kepada banyak negara termasuk Malaysia menerusi kenaikan kos operasi perniagaan dan kos sara hidup rakyat.
Menerusi hantaran artikel di laman LinkedIn miliknya, beliau menjelaskan bahawa kedudukan kewangan kerajaan kini turut menimbulkan kegusaran selain ancaman inflasi tolakan kos.
“Bagi Malaysia, selain ancaman inflasi tolakan kos, kedudukan kewangan kerajaan kini turut menimbulkan kegusaran. Meskipun Skim BUDI bersifat universal, had subsidi yang ditetapkan sebanyak 300 liter bagi setiap warganegara telah berjaya menjana penjimatan berbanding sistem subsidi tanpa had sebelum ini.”
“Bagaimanapun, pengiraan asal skim tersebut bersandarkan harga minyak mentah pada paras AS$70 setong manakala harga semasa yang kini melonjak melebihi AS$100 setong menuntut kos tambahan mencecah berbilion ringgit.”
“Sehubungan itu, satu keputusan tuntas perlu diambil dalam masa terdekat, yang memerlukan perbahasan mendalam mengenai imbangan (trade-offs) dalam pengurusan sumber fiskal negara,” kata artikel Dr. Nungsari di laman LinkedIn rasmi beliau.
Tambahnya, sektor pengangkutan, logistik, pembuatan dan industri perkhidmatan dijangka menjadi yang paling terjejas ekoran kebergantungan tinggi terhadap bahan api.
Sementara itu, Dr. Nungsari turut menekankan bahawa konflik berkenaan memberi cabaran kepada keselamatan tenaga negara.
Walaupun Malaysia merupakan pengeluar minyak dan gas, negara masih bergantung kepada import bagi produk petroleum tertentu dan gas asli cecair (LNG).
“Sebarang gangguan bekalan atau lonjakan harga global akan meningkatkan kos tenaga domestik serta perbelanjaan kerajaan. Namun, harga minyak yang lebih tinggi juga berpotensi meningkatkan hasil negara daripada sektor minyak dan gas, khususnya menerusi Petronas,” jelas beliau.
Justeru, beliau menyarankan kerajaan mengekalkan langkah perlindungan seperti subsidi bahan api bersasar serta memantau perkembangan pasaran tenaga dunia secara berterusan, bagi mengurangkan kesan kepada rakyat.
Tegasnya, langkah persediaan awal dan dasar ekonomi yang berhati-hati adalah kritikal bagi memastikan Malaysia kekal berdaya tahan dalam menghadapi isu ketidaktentuan global.