
KULIM, 11 Mac- Penyediaan kemudahan asas gerai perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di Desa KEDA Nagalilit bakal merancakkan lagi aktiviti ekonomi penduduk setempat.
- Peruntukan RM50,000 di bawah PIKAT oleh KEDA untuk pembinaan kemudahan gerai IKS.
- Majlis penyerahan disempurnakan Datuk Asmadi Abu Talib mewakili Pengerusi KEDA di Dewan Terbuka Desa KEDA Nagalilit.
- Inisiatif bertujuan memperkasa ekonomi komuniti dengan menyediakan ruang niaga kondusif dan menyokong keusahawanan penduduk desa.
- Program diadakan bersempena Santapan Rohani Ramadan Zon 6 Kulim; turut dilancarkan kempen Desaku Bersih, penyerahan geran dan bantuan bakul makanan.
Kemudahan yang dibangunkan menggunakan unit kabin berasingan itu dibina menerusi peruntukan RM50,000 di bawah Projek Integrasi Pembangunan Kawasan Terpilih (PIKAT) oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA).
Majlis menandatangani dokumen penyerahan kemudahan berkenaan disempurnakan oleh Penasihat Program dan Aktiviti KEDA Parlimen Padang Serai, Datuk Asmadi Abu Talib yang mewakili Pengerusi KEDA di Dewan Terbuka Desa KEDA Nagalilit.

Datuk Asmadi berkata inisiatif itu dilaksanakan bagi memperkasa ekonomi komuniti melalui penyediaan ruang niaga lebih kondusif dan menyokong perkembangan aktiviti keusahawanan penduduk desa.
Program itu diadakan bersempena Santapan Rohani Ramadan Komuniti Desa KEDA Zon 6, Kulim bagi Iftar Perdana KEDA 1447H. Turut hadir Pengurus Pembangunan Komuniti KEDA, Azam Omar.
Majlis sama turut menyaksikan pelancaran Kempen Desaku Bersih “Indah Dipandang, Damai Bertandang”, selain penyerahan geran hak milik tanah kepada penduduk Kampung KEDA serta bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan sempena Ramadan.