JBPM terima 30 jentera FRT baharu

Foto RTM

PUTRAJAYA, 9 Februari -Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima sebanyak 30 unit jentera Fire Rescue Tender (FRT) baharu berteknologi canggih bernilai RM60 juta bagi menggantikan jentera usang melebihi usia 20 tahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • 30 jentera Fire Rescue Tender baharu diterima untuk menggantikan jentera usang lebih 20 tahun.
  • Perolehan bernilai RM60 juta hasil kerjasama pintar antara Malaysia dan China.
  • Jentera akan diagihkan ke balai bomba di seluruh negara mengikut keperluan mendesak.
  • Inisiatif ini memperkukuh keupayaan operasi bomba dan keselamatan awam dengan lebih berkesan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, perolehan aset itu hasil kerjasama pintar Malaysia dan China menerusi hubungan diplomatik erat kedua-dua buah negara.

“Hubungan diplomatik yang akrab antara China dan Malaysia kini membuahkan hasil yang mana jentera bomba uzur, daif kita tukar dengan rakan strategik dari China, berjaya menarik pelaburan untuk masuk.

“Hasil kerjasama strategik antara JBPM dan China atas hasil rundingan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China, Li Qiang, sempena lawatan rasmi Li Qiang ke negara ini tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya 2026 di sini.

Nga berkata, kesemua jentera baharu berkenaan akan diagihkan ke balai bomba di seluruh negara yang mempunyai keperluan mendesak.

“Model kerjasama yang kita pelopori ini menjadi tanda aras baharu kepada perolehan kerajaan terutamanya dalam pengurusan kos dan tempoh masa perolehan yang lebih efisien,” katanya lagi.

Tambah beliau, langkah itu bukan sahaja memperkukuh keupayaan operasi pihak bomba, malah memastikan keselamatan rakyat terus dijaga dengan lebih efektif dan berkesan.