Insentif gula dikaji semula, kerajaan elak kesan kenaikan harga makanan

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali

KUALA LUMPUR, 9 Februari Pemberian insentif gula ketika ini bersifat sementara dan bersasar kini sedang dikaji semula KPDN dan Kementerian Kewangan (MOF) selaras usaha kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan fiskal negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyasaran semula insentif gula dikaji bagi mengoptimumkan perbelanjaan fiskal tanpa membebankan pengguna.
  • Perubahan subsidi perlu dilaksanakan berperingkat dan teliti untuk elak kenaikan harga makanan asas secara mendadak.
  • Kadar insentif disemak berkala mengambil kira ketidaktentuan harga gula mentah global dan keperluan semua pemegang taruh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata, sebarang perubahan tidak boleh dilaksanakan secara drastik kerana dikhuatiri akan memberi kesan langsung terhadap harga makanan dan seterusnya membebankan rakyat.

“Kerajaan bersetuju untuk meneliti penyasaran subsidi gula, namun ia perlu dilaksanakan secara berperingkat dan teliti. Jika dilakukan secara mendadak, ia boleh mencetuskan kenaikan harga barang yang akhirnya memberi tekanan kepada pengguna,”katanya ketika sesi penggulungan di Dewan Rakyat.

Jelas beliau, ketika ini pemberian insentif hanya melibatkan gula putih bertapis dalam pek 1 kilogram dan 2 kilogram untuk kegunaan rakyat, manakala industri makanan dan minuman (F&B) berskala besar tidak menikmati sebarang insentif.

“Langkah itu,bertujuan mengekang kenaikan harga makanan asas serta memastikan kelangsungan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor makanan dan minuman,” jelasnya.

Sebagai perbandingan, daripada kira-kira 1.3 juta metrik tan (MT) pengeluaran gula negara setahun, hampir 700,000 MT digunakan dalam industri F&B tanpa sebarang subsidi.

Dalam pada itu, Datuk Armizan Ali berkata, kadar insentif gula akan disemak secara berkala bagi memastikan kecekapan penggunaan peruntukan kerajaan, mengambil kira ketidaktentuan harga gula mentah global yang dipengaruhi kos logistik perkapalan, turun naik harga minyak dunia serta dasar etanol negara pengeluar utama seperti Brazil dan India.

Menurut beliau, kerajaan kekal komited mengimbangi keperluan semua pemegang taruh, termasuk mengambil kira agenda kesihatan nasional, di samping memastikan bekalan gula sebagai barang kawalan berjadual sentiasa mencukupi dan stabil di pasaran.