
SEREMBAN, 17 Mac -Program Semarak Syawal anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), menyasarkan nilai jualan sebanyak RM40 juta.
- Dilaksana tujuh hari di 722 lokasi termasuk agrobazar dan 258 pasar tani di seluruh negara.
- Menawarkan harga lebih rendah dan jualan kombo Agro MADANI serendah RM15 untuk barangan keperluan.
- Pengerusi FAMA jamin bekalan mencukupi, harga terkawal dan peniaga mematuhi garis panduan; sambutan menggalakkan.
Program selama tujuh hari itu bermula pada 14 Mac lalu dan diadakan di 722 lokasi, termasuk agrobazar serta 258 lokasi pasar tani di seluruh negara.
Inisiatif tersebut bertujuan membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah melalui pelbagai tawaran istimewa, termasuk jualan kombo Agro MADANI serendah RM15.
Pelbagai barangan seperti ayam pencen, sayuran, dan daging dijual pada harga berpatutan.
Dalam pada itu, Pengerusi FAMA, Aminuddin Zulkipli, berkata harga bekalan juga terkawal setakat ini serta peniaga didapati mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Beliau memberi jaminan bahawa bekalan barangan sempena Aidilfitri mencukupi setakat ini.
“Seperti biasa, kami menawarkan potongan harga melalui jualan kombo Agro MADANI. Setakat hari ini, Alhamdulillah, sambutannya menggalakkan dan bekalan juga dilihat stabil. Oleh itu, pembeli hanya perlu membeli seperti biasa tanpa perlu membuat pembelian panik,” katanya kepada pemberita, di sini.