Biasiswa MAIWP bantu pelajar asnaf di Labuan lanjut pengajian

17 pelajar cemerlang terima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang MAIWP / FOTO RTM

LABUAN, 12 MAC – Seramai 17 pelajar dari Wilayah Persekutuan Labuan terpilih menerima Biasiswa Insentif Khas Pelajar Cemerlang Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi sesi 2025/2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemilihan berdasarkan keputusan STPM, diploma, matrikulasi dan had kifayah keluarga.
  • MAIWP menanggung yuran pengajian, menyediakan elaun sara diri serta bantuan pembelian buku dan alat tulis setiap semester.
  • Bantuan sokong pelajar asnaf melanjutkan pelajaran dan melahirkan generasi berilmu yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.

Biasiswa itu melibatkan jumlah keseluruhan kira-kira RM580,000 yang disalurkan kepada kesemua penerima.

Penyerahan biasiswa disempurnakan oleh Pengurus MAIWP Cawangan Labuan, Ustaz Mohd Rafie Zakaria, dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Seminar Al-Fateh.

Menurut beliau, pemilihan penerima dibuat berdasarkan keputusan akhir peperiksaan di peringkat Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), program diploma dan matrikulasi, selain mengambil kira had kifayah keluarga pemohon.

Katanya, bantuan tersebut akan diberikan sepanjang tempoh pengajian pelajar mengikut kadar yang telah diluluskan dan disalurkan pada setiap semester pengajian.

“Dalam bantuan biasiswa ini, yuran pengajian akan ditanggung oleh MAIWP. Selain itu, MAIWP turut menyediakan elaun sara diri serta bantuan pembelian buku dan alat tulis bagi menyokong keperluan pembelajaran pelajar.”

Usaha ini sekali gus menyokong pelajar cemerlang daripada golongan asnaf untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, selain melahirkan generasi berilmu yang mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara.

Sementara itu, salah seorang penerima biasiswa, Nur Erdina Raiquisha Mohd Mardi, melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas bantuan yang diterima.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih atas bantuan biasiswa ini kerana ia membantu saya memberi fokus kepada pelajaran tanpa terlalu memikirkan beban kewangan,” katanya.

Bapa kepada penerima biasiswa tersebut, Mohd Mardi Mani, turut merakamkan penghargaan kepada MAIWP atas inisiatif membantu pelajar cemerlang di Labuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MAIWP dan berharap penerima biasiswa ini dapat menjadi contoh kepada pelajar lain khususnya di Labuan,” katanya.