Aidilfitri: Bekalan makanan asas seluruh negara cukup

Datuk Seri Mohamad Sabu pada program Sentuhan Agro MADANI sempena Karnival Cahaya Aidilfitri Usahawan KPKM dan Majlis Iftar Kasih di Kota Bharu hari ini/ Facebook FAMA Malaysia

KOTA BHARU, 6 Mac- Bekalan barangan makanan asas di seluruh negara tidak terjejas dan mencukupi sepanjang Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri menasihati orang ramai agar tidak membuat pembelian panik.
  • Permintaan santan meningkat; FAMA menambah bekalan dari semasa ke semasa.
  • Datuk Seri Mohamad Sabu merasmikan Karnival Cahaya Aidilfitri Usahawan KPKM dan Majlis Iftar Kasih.
  • Karnival menyasarkan jualan RM750,000 dan dijangka menyuntik ekonomi usahawan serta memperkukuh kerjasama agensi dan komuniti.

Sehubungan itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menasihati orang ramai agar tidak membuat pembelian panik.

“Alhamdulillah, setakat ini dari segi bekalan makanan barangan asas mencukupi. Bagaimanapun permintaan bekalan santan menyaksikan peningkatan dan kementerian melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sedang menambah bekalan dari semasa ke semasa,” katanya.

Datuk Seri Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Cahaya Aidilfitri Usahawan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Majlis Iftar Kasih di Pusat Transformasi Luar Bandar Tunjong di sini hari ini.

Berhubung karnival itu, beliau berkata pihaknya menyasarkan jualan mencecah RM750,000.

Karnival berkenaan dijangka memberi suntikan kepada ekonomi usahawan industri asas tani selain memperkukuh kerjasama antara kerajaan, agensi dan komuniti usahawan.