fb fb fb fb fb

Zii Jia mara ke separuh akhir terbuka Australia

Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia

KUALA LUMPUR, 14 Jun - Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia meneruskan kemaraan dalam Terbuka Australia dengan bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan pemain Jepun Kenta Nishimoto pada suku akhir hari ini.

Pemain nombor lapan dunia itu mengambil masa 67 minit untuk menewaskan pilihan ketujuh Nishimoto 16-21, 21-12, 21-12 di Quaycentre, Sydney.

Zii Jia yang kini mara ke separuh akhir ketiga dalam empat kejohanan yang disertainya sejak Terbuka Thailand bulan lalu akan berdepan pemain nombor 37 dunia Lee Chia Hao dari Taiwan. Zii Jia hanya menang dua kali dalam lima pertemuan mereka.

Sementara itu, pasangan beregu campuran profesional Tan Kian Meng-Lai Pei Jing turut mara ke separuh akhir selepas menewaskan rakan senegara Choong Hon Jian-Go Pei Kee 21-15, 23-21.

Pilihan kelima itu bakal berdepan tugas berat menentang pasangan kelima dunia yang juga pilihan utama Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China.

Kian Meng-Pei Jing telah tewas ketiga-tiga perlawanan sebelum ini menentang pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2023 itu termasuk pada separuh akhir Terbuka Indonesia minggu lepas.

Ia akan menjadi kegembiraan berganda buat mangsa penipuan berusia 31 tahun Lai Pei Jing yang turut mara ke separuh akhir acara beregu wanita.

Pei Jing dan pasangannya Lim Chiew Sien menewaskan Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr dari Ukraine 21-17, 21-19 untuk membuat perhitungan menentang Yeung Nga Ting-Yeung Pui Lam dari Hong Kong.

Dalam acara beregu lelaki, pilihan ketiga Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri merupakan wakil tunggal Malaysia yang layak ke separuh akhir selepas dua lagi pasangan negara tersingkir.

Juara Orleans Masters 2024 itu menewaskan Rizky Hidayat-Frengky Wijaya Putra dari Australia 21-16, 18-21, 21-12 untuk mencabar pilihan utama He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China yang menyingkirkan Kang Khai Xing-Aaron Tai dari Malaysia 21- 14, 21-12 dalam masa 27 minit.

Beregu lelaki muda negara Wan Muhammad Arif Shaharuddin Wan Junaidi-Yap Roy King pula dikejutkan oleh pasangan Taiwan Chen Zhi Ray-Lin Yu Chieh 14-21, 17-21 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.- BERNAMA

Tags: Lee Zii Jia, badminton, Terbuka Australia, Tan Kian Meng, Lai Pei Jing

GRACE AISYAH KEDAYAN