fb fb fb fb fb

VSN2030 dilancar Sabtu ini, lebih 4,000 aspirasi dikumpulkan

KUALA LUMPUR, 6 Oktober- Visi Sukan Negara (VSN) 2030 yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersempena Hari Sukan Negara (HSN) di Putrajaya pada Sabtu ini (8 Oktober) berjaya mengumpulkan lebih 4,000 aspirasi daripada rakyat Malaysia berkaitan sukan tanah air.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan memaklumkan kesemua aspirasi itu dikumpul menerusi Kanvas Visi Sukan Negara 2030 yang dijalankan dari 7 April hingga November tahun lepas.

Kenyataan itu menyebut kanvas berkenaan dilaksanakan mengikut konsep ‘daripada komuniti kepada komuniti’ yang mencerminkan strategi VSN2030 yang direncanakan oleh seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Sesi libat urus yang diadakan di seluruh negara merangkumi 65 sesi secara fizikal dan dalam talian berjaya menarik lebih 8,000 penyertaan dan mengumpulkan lebih 4,000 aspirasi daripada segenap lapisan rakyat Malaysia.

“Matlamat pembangunan VSN ialah supaya Malaysia menjadi sebuah negara bersukan yang mengamalkan sukan secara inklusif, adil dan selamat serta berdaya saing dalam mencapai kecemerlangan di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyenaraikan enam teras utama VSN2030 iaitu Pembudayaan Sukan, Kegemilangan Sukan, Industri Sukan, Pembangunan Bakat, Profesionalisme Sukan dan Hab Sukan.

Pembudayaan Sukan merangkumi perspektif yang luas dalam usaha kerajaan memupuk semangat kesukanan dan gaya hidup aktif dalam semua lapisan masyarakat melibatkan tiga cadangan strategi utama iaitu penglibatan dan pendidikan, sukan sebagai ejen penyatuan dan kerjasama antara komuniti.

Kegemilangan Sukan pula melibatkan pembangunan sukan berprestasi tinggi dan elit yang berpaksikan tiga kumpulan sasar iaitu atlet, jurulatih dan pegawai sokongan seterusnya berhasrat melahirkan jaguh tempatan di persada antarabangsa.

Teras Industri Sukan memberikan penumpuan khusus dan inklusif merangkumi pembangunan ekosistem industri sukan yang dilihat semakin berkembang serta berpotensi memberi impak cukup besar kepada pertumbuhan ekonomi negara.

(Foto fail)

Pembangunan Bakat memberi tumpuan kepada penyediaan sebuah ekosistem menggalakkan perkembangan bakat di semua peringkat manakala Profesionalisme Sukan merangkumi beberapa aspek kritikal dalam memastikan sistem tadbir urus cekap di peringkat badan sukan komuniti sehingga kebangsaan.

“Skop teras Hab Sukan merangkumi aspek peningkatan capaian dan struktur tadbir urus yang menawarkan kualiti fasiliti, perkhidmatan dan kepakaran tinggi,” menurut kenyataan itu.

KBS pada masa sama menjemput orang ramai untuk melawat Pavilion VSN2030 sekali gus memeriahkan karnival HSN di Dataran Istana Kehakiman, Putrajaya, Sabtu ini.

Media Baharu