LIVERPOOL, 7 Mei - Ketua pasukan Liverpool yang juga pertahanan kental Belanda, Virgil Van Dijk berkata dia sangat gembira di kelab berkenaan dan menyatakan keinginannya untuk terlibat dalam proses transisi kelab berkenaan selepas pemergian pengurus Jurgen Klopp pada penghujung musim ini.
Media Inggeris melaporkan kontrak pemain berusia 32 tahun itu bakal berakhir musim dan menyasarkan kelab Bundesliga, Borussia Dortmund sebagai destinasi terbaharunya.
Sebelum ini, Van Djik dilaporkan berkata dia tidak pasti tentang masa depannya susulan pengumuman pemergian Klopp pada Januari lepas. Namun, pemain berkenaan kini bersedia untuk kekal bersama kelab Merseyside itu selepas Arne Slot dinamakan pengurus baharu kelab musim depan.
"Fokus kini tertumpu kepada baki dua perlawanan liga musim ini. Selepas itu, kelab akan memfokuskan kepada pencarian pengurus baharu.
"Tentunya akan berlaku peralihan besar kepada kelab dan saya bersedia untuk terlibat dalam proses berkenaan", kata Van Djik kepada media Inggeris.
"Tiada apa yang perlu diperkatakan berhubung masa depan saya di kelab ini. Saya sangat gembira berada di sini.
"Pastinya akan berlaku perubahan besar terhadap kelab. Perkara berkenaan bukan perkara yang menakutkan. Ia adalah perkara menarik dan mengujakan untuk melihat apa yang bakal berlaku", tambah Van Djik lagi.
Liverpool kini menduduki tangga ketiga Liga Inggeris dengan 78 mata dan bakal bertemu dengan Aston Villa Isnin ini sebelum menutup kempen liga musim ini dengan menentang Wolverhampton Wanderers.-REUTERS