fb fb fb fb fb

Timur Kapadze dinamakan sebagai ketua jurulatih baharu Uzbekistan

Bekas pemain kebangsaan Uzbekistan, Timur Kapadze dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Uzbekistan / Foto Facebook Timur Kapadze

TASKENT,23 Januari –Bekas pemain kebangsaan Uzbekistan, Timur Kapadze telah dilantik sebagai ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan negara berkenaan menggantikan Srecko Katanec, yang terpaksa melepaskan jawatan kerana masalah kesihatan, umum Persekutuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA).

Kapadze, yang berjaya membawa pasukan bawah 23 tahun (B-23) negara itu ke Sukan Olimpik tahun lalu, dilantik selepas Katanec meninggalkan jawatan tersebut pada Rabu, dua bulan sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang Kyrgyzstan dan Iran.

Jurulatih berusia 43 tahun itu dipilih kerana beliau mengenali pasukan dan pemain, serta pernah bermain untuk pasukan kebangsaan, serta berpengalaman sebagai ketua jurulatih dan penolong jurulatih," kata UFA menerusi Instagram.

"Dalam situasi semasa, UFA percaya bahawa bakat kejurulatihan Kapadze, tanggungjawabnya dan kedudukannya dalam kalangan ahli pasukan, serta sentiasa berusaha mencapai matlamat lebih tinggi, akan memberikan hasil positif dalam perlawanan penting ini", maklum UFA.

Uzbekistan belum pernah layak ke Piala Dunia, tetapi Katanec telah meninggalkan pasukan itu dalam kedudukan yang kukuh untuk mencipta sejarah dengan penampilan pertama mereka di pusingan akhir.

Ketika ini, Uzbekistan berada di tempat kedua dalam Kumpulan A kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2026, tiga mata di belakang Iran dan tiga mata di hadapan Emiriah Arab Bersatu, dengan baki empat perlawanan lagi.

Dua pasukan teratas dalam kumpulan enam pasukan ini akan layak secara automatik ke Piala Dunia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan mara ke pusingan kelayakan tambahan.

Uzbekistan dijadualkan menentang Kyrgyzstan di Tashkent pada 20 Mac sebelum bertandang ke Tehran untuk berdepan Iran pada 25 Mac depan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD