KUALA LUMPUR, 5 Jan - Bekas juara beregu lelaki Terbuka Malaysia, Koo Kien Keat menjangkakan edisi Terbuka Malaysia 2026 akan menjadi tugas sukar buat beregu negara dalam misi menamatkan kemarau kejuaraan di laman sendiri.
Menurut Kien Keat, meskipun berpeluang mara ke pentas akhir, namun untuk muncul juara merupakan tugas yang jauh lebih mencabar, memandangkan konsistensi yang ditampilkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho dan Seo Seung Jae.
Beliau berkata, pasangan Korea itu dilihat sebagai pencabar utama kejuaraan dan berpotensi besar untuk sekurang-kurangnya melangkah ke perlawanan akhir.
"Sejujurnya, pasangan Korea ini sangat konsisten dan saya yakin mereka mampu menjadi juara atau sekurang-kurangnya mara ke perlawanan akhir.
"Ada peluang untuk pasangan Malaysia, tetapi untuk menang, itu agak sukar untuk saya jangka," katanya ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang Terbuka Malaysia 2026 di ibu negara.
Kien Keat pernah menjuarai Terbuka Malaysia pada 2006 bersama Chan Chong Ming, sebelum menambah dua lagi gelaran bersama Tan Boon Heong pada edisi 2007 dan 2010.
Terbuka Malaysia 2026 dijadual berlangsung bermula esok hingga 11 Januari ini.