LONDON, 5 Januari - Novak Djokovic mengumumkan keputusan untuk berundur sepenuhnya daripada Persatuan Pemain Tenis Profesional (PTPA).
Ia susulan kebimbangan terhadap isu ketelusan dan tadbir urus organisasi berkenaan.
Menerusi hantaran di platform X, pemain Serbia itu berkata, keputusan berkenaan turut didorong oleh cara pandangan dan pendiriannya diwakili dalam PTPA.
Djokovic menubuhkan PTPA bersama Vasek Pospisil pada 2020 bagi memperkukuh representasi dan suara bebas pemain tenis profesional.
“Saya berbangga dengan visi awal penubuhan PTPA untuk memberi pemain suara yang lebih kuat dan bebas, namun jelas nilai serta pendekatan saya kini tidak lagi sehaluan dengan hala tuju semasa organisasi itu,” katanya.
Pada Mac lalu, PTPA memfailkan tindakan undang-undang terhadap badan pentadbir tenis termasuk ATP, WTA, Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) dan Badan Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA) atas dakwaan amalan anti-persaingan dan kegagalan melindungi kebajikan pemain.
Penganjur empat kejohanan Grand Slam turut dimasukkan dalam saman itu pada September, namun Djokovic yang merupakan juara Grand Slam 24 kali sebelum ini menyatakan beliau tidak bersetuju dengan semua elemen tuntutan berkenaan.
ATP dan WTA turut menolak keras dakwaan tersebut.