ENGLAND, 5 Januari - Pengurus Manchester United, Ruben Amorim menegaskan beliau hadir ke Old Trafford sebagai pengurus dengan kuasa penuh, bukan sekadar jurulatih.
Amorim dilihat berang apabila ditanya sama ada beliau masih mendapat kepercayaan lembaga pengarah, sebelum mempertahankan kedudukannya susulan keputusan seri 1-1 menentang Leeds United pada Ahad.
“Saya datang ke sini sebagai pengurus Manchester United, bukan jurulatih. Perkara itu jelas sejak awal,” tegas Amorim.
Beliau berkata, tempoh peranannya ditetapkan selama 18 bulan atau sehingga lembaga membuat keputusan sebaliknya.
Jurulatih berusia 40 tahun itu juga tidak bercadang meninggalkan kelab, sebaliknya akan terus menjalankan tugas pengurusan sepenuhnya seperti yang dipersetujui.
Dalam pada itu, Amorim mempertahankan penyerang Benjamin Sesko yang gagal menyempurnakan beberapa peluang dan masih kemarau jaringan sejak Oktober lalu.
Beliau berkata prestasi Sesko tidak seteruk didakwa dan yakin tekanan terhadap pemain itu akan reda sebaik sahaja berjaya menjaringkan gol.