KUALA LUMPUR, 5 Jan - Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menjangkakan cabaran sukar apabila berdepan wakil Indonesia pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang membuka tirai esok.
Ini meskipun memiliki rekod pertemuan positif selepas kali terakhir bertemu pada Siri Akhir Jelajah Dunia 2025 yang menyaksikan mereka mendahului 6-0.
Tang Jie bagaimanapun menegaskan, statistik tersebut tidak mencerminkan kesukaran sebenar di gelanggang memandangkan empat daripada enam pertemuan lalu terpaksa diheret sehingga ke set penentuan.
Menurutnya, setiap perlawanan menentang pasangan Indonesia menuntut tahap fokus dan intensiti yang tinggi sepanjang permainan.
"Saya rasa perlawanan menentang mereka sentiasa sukar. Kami hanya bersedia dengan apa yang boleh kami lakukan dan seperti biasa, kami akan berikan komitmen sepenuhnya untuk cuba meraih kemenangan," katanya ketika ditemui pada sesi ujian gelanggang Terbuka Malaysia 2026 di ibu negara.
"Setiap kali bertemu mereka, perlawanan sentiasa mencabar. Rekod bukan penentu, yang penting bagaimana kami mengawal permainan dan prestasi sendiri di gelanggang," katanya.
Sementara itu, Ee Wei menyifatkan persiapan mereka berada pada tahap terbaik, selain menghargai sokongan padu peminat tempatan.
"Persiapan kami berjalan dengan baik. Kami harap dapat berikan yang terbaik untuk penyokong Malaysia yang datang menyokong," katanya.
Mengulas status sebagai juara dunia, Ee Wei menegaskan ia tidak mengubah pendekatan mereka di gelanggang, sebaliknya memilih untuk kekal rendah diri dan berlawan tanpa tekanan berlebihan.
"Tak kisah sebelum atau selepas juara dunia, yang penting kami sentiasa berikan yang terbaik dan menikmati perlawanan," katanya.
Pasangan negara itu turut mengambil pendekatan tidak mahu memikirkan terlalu jauh mengenai sasaran kejohanan, sebaliknya memberi fokus penuh kepada setiap perlawanan yang dihadapi.
Ogos tahun lalu, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai juara di Kejohanan Dunia di Paris.
Kejayaan membanggakan itu hadir selepas pasangan ranking empat dunia menampilkan persembahan hampir sempurna untuk menundukkan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin pada aksi final.