fb fb fb fb fb

SUKMA ke-20: Ganjaran besar kepada kontinjen Terengganu, jika capai sasaran

KUALA NERUS, 16 September - Kontinjen Terengganu bakal menerima durian runtuh sekiranya berjaya mengekalkan kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 kali ini, selaras dengan tema “2022 Victory Mission”.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah sebagai motivasi kepada 426 atlet yang sedang bertanding pada temasya Sukma ke-20 di Lembah Klang ketika ini.

Katantanya, insentif kemenangan berjumlah RM1.8 juta untuk kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu sekiranya meraih juara keseluruhan pada temasya kali ini.

(Wan Sukairi ketika ditemui pemberita)

"Nilai ganjaran untuk temasya kali ke-20 ini kita naikkan sekali ganda berbanding SUKMA 2018 di Perak.

"Untuk pingat emas, pemenang bakal menerima insentif sebanyak RM6,000, pingat perak sebanyak RM3,000 dan pingat gangsa RM2,000," katanya kepada media di sini.

Wan Sukairi berkata sekiranya pasukan Terengganu gagal mencapai sasaran untuk muncul juara keseluruhan seperti pada 2018, insentif kemenangan tetap akan diberikan tetapi mengikut kadar berbeza.

"Untuk pingat emas, kita akan beri ganjaran sebanyak RM3,000, perak sebanyak RM2,000 dan gangsa sebanyak RM1,000," katanya.

Pada SUKMA kali ini, Terengganu menyasarkan pungutan 57 pingat emas, 25 perak dan 40 gangsa untuk mengekalkan status juara.

Antara sukan yang dijangka menjadi lubuk emas ialah basikal, kanu, pelayaran dan judo.

Pemberian insentif itu juga merupakan tanda sokongan kerajaan negeri kepada setiap atlet dan pasukan agar lebih bersemangat dan beraksi cemerlang mengharumkan nama negeri Terengganu di persada sukan negara.

Media Baharu