fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Skuad wanita kebangsaan tewas 0-3 kepada Myanmar

Foto FB FAM

THAILAND, 8 Disember – Peluang skuad bola sepak wanita negara untuk mara ke separuh akhir Sukan SEA 2025 hampir tertutup selepas tewas 0-3 kepada Myanmar dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium TNSU, hari ini.

Kekalahan itu meletakkan Malaysia dalam situasi sukar, dan peluang mereka akan terpadam sepenuhnya sekiranya juara bertahan Vietnam menewaskan Filipina dalam satu lagi perlawanan kumpulan yang berlangsung selepas ini, menjadikan aksi terakhir menentang Filipina sekadar pelengkap jadual.

Dalam perlawanan tersebut, Myanmar lebih menguasai permainan, namun benteng negara pada awalnya beraksi disiplin.

0812 SUKAN SEA BOLA WANITA TUMPAS 2Foto FB FAM

Nur Lyana Soberi menafikan tandukan berbahaya May Htet Lu pada minit ke-11, manakala penjaga gol Nurul Azurin Mazlan menafikan percubaan Win Theingi Tun pada minit ke-24.

Bagaimanapun, gawang Malaysia akhirnya dibolosi pada minit ke-26 melalui San Thaw Thaw, sebelum Htet Lu menambah gol kedua pada minit ke-35, menjadikan Myanmar mendahului 2-0 sehingga tamat babak pertama.

Keadaan bertambah rumit selepas rehat apabila Nur Adrienna Zamzaihiri dilayangkan kad merah pada minit ke-58, menyaksikan Malaysia beraksi dengan 10 pemain.

Myanmar memanfaatkan kelebihan itu untuk membolehkan Win Theingi Tun menjaringkan gol ketiga pada minit ke-65 sekaligus mengesahkan kemenangan 3-0.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN