BANGKOK, 16 Disember - Atlet angkat berat negara, Mohamad Syahmi Nor Ghazali meraih pingat perak dalam kategori 94 kilogram Sukan SEA 2025, hari ini.
Dalam saingan yang berlangsung di Chonburi Sports School, menyaksikan Mohamad Syahmi berupaya melakukan angkatan 153 kilogram (kg) untuk acara snatch dan 200kg bagi clean and jerk.
Dua angkatan tersebut membolehkannya mengumpul keseluruhan 353kg untuk berada di kedudukan kedua selepas atlet Thailand, Sarat Sumpradit yang meraih pingat emas dengan angkatan keseluruhan 366kg.
Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik atlet Vietnam, Xuan Dung Tran dengan jumlah angkatan 337kg.
Antara pencapaian terbaik Mohamad Syahmi musim ini ialah meraih pingat emas pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2025 di Ahmedabad, India, Ogos lalu.