fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Intan Serah kembali perkuat skuad Malayan Tigress

Penyerang berpengalaman skuad bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli/Foto FB Intanserah

KUALA LUMPUR, 12 November – Penyerang berpengalaman skuad bola sepak wanita kebangsaan, Intan Serah Anisah Zulgafli, antara 23 pemain yang dipanggil menyertai kem latihan pusat pasukan Malayan Tigress sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand bulan depan.

Menurut kenyataan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), skuad bimbingan Joel Cornelli turut memperkenalkan kehadiran pemain berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Kanchenjeet Kaur Nanua, yang beraksi bersama kelab Miami Dade Sharks di posisi pertahanan.

“Daripada 23 pemain ini, Joel mengekalkan 19 daripada 24 pemain yang telah dibawa ke dua aksi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada 22 dan 25 Oktober lalu. Skuad Malayan Tigress akan beraksi dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 Tri Nations 2025, menentang Bangladesh pada Rabu, 26 November 2025, dan Azerbaijan pada Sabtu, 29 November 2025,” menurut kenyataan itu.

Skuad Malayan Tigress dijadual meneruskan kem latihan pusat mereka di Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Chonburi, Thailand, pada 3 Disember bagi menghadapi saingan Kumpulan B.

Dalam jadual perlawanan, Malaysia akan menentang Vietnam pada 5 Disember, Myanmar pada 8 Disember, dan Filipina pada 11 Disember, dengan semua perlawanan berlangsung di Stadium TNSU, Chonburi.

Juara kumpulan dan naib juara bagi Kumpulan A dan B akan mara ke peringkat separuh akhir pada Ahad, 14 Disember, manakala aksi final dan penentuan tempat ketiga dijadualkan pada Rabu, 17 Disember.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN