KUALA LUMPUR, 13 Jun- Perlawanan pembuka tirai menentang Pakistan bagi saingan Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil Ahad ini, merupakan aksi sukar.
Perkara itu diakui Ketua jurulatih hoki negara, Sarjit Singh.
Beliau bagaimanapun tetap mahu skuad Speedy Tigers menampilkan persembahan terbaik dalam kejohanan tersebut.
"Ia akan menjadi sukar. Perlawanan pertama sentiasa sukar untuk semua orang. Kalau kita dapat menguasai perlawanan secepat mungkin, ia lebih baik.
"Apa yang boleh saya katakan, pasukan kita semakin baik. Mereka tahu betapa pentingnya perlawanan ini dan saya berharap mereka beraksi dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aksi pemanas badan antara Malaysia dengan Wales.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Bukit Jalil petang tadi, Malaysia tewas 0-2 meskipun memberi tentangan sengit terhadap pasukan lawan.
Sarjit mengakui setakat ini pasukannya telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi kejohanan tersebut.
"Walaupun kalah dua kosong, tapi kami mencipta banyak peluang untuk menjaringkan gol dan penjaga gawang melakukan tugas dengan baik. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan mereka," katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan, sementara Kumpulan A dihuni Afrika Selatan, Perancis, Korea Selatan dan Wales.
Malaysia membuka tirai perlawanan menentang Pakistan pada Ahad ini, diikuti New Zealand (16 Jun) dan perlawanan terakhir menentang Jepun (18 Jun).