fb fb fb fb fb

Sharul Aimy rangkul pingat gangsa di Uzbekistan

Foto FB MSN

KUALA LUMPUR, 20 Mei- Pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022, Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam melakar sejarah apabila merangkul pingat sulung negara di Kejohanan Gimnastik Artistik Lelaki Asia 2024 di Tashkent, Uzbekistan.

Atlet gimnastik negara yang berusia 22 tahun itu menyambar gangsa dalam acara melombol dengan mencatatkan 14.466 mata di belakang jaguh dari Filipina, Carlos Yulo (14.883 mata) dan atlet tuan rumah, Abdulaziz Mirvaliev (14.783 mata) yang masing-masing mengutip pingat emas dan perak.

Bagaimanapun, Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF), Francis Loh berkata kejayaan manis tersebut tidak cukup untuk melayakkan Muhammad Sharul meraih slot Sukan Olimpik 2024 di Paris dijadual berlangsung dari 26 Julai-11 Ogos.

Pemenang gangsa melombol Sukan Asia Hangzhou 2022 itu hanya menyertai satu acara manakala slot ke Sukan Olimpik 2024 pula diberikan kepada pemenang acara all-around lelaki.

Sehubungan itu, Loh berkata MGF akan memberi tumpuan bagi membantu atlet dari Terengganu untuk mahir dalam acara all-around sekali gus mencerahkan peluang beraksi pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM