fb fb fb fb fb

Serangan seksual: Sano dibebaskan daripada tahanan

Kaishu Sano ketika menandatangani kontrak bersama kelab Jerman, Mainz

TOKYO, 30 Julai- Pemain bola sepak Jepun, Kaishu Sano telah dibebaskan dua minggu lalu selepas ditangkap kerana didakwa melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita.

Perkara itu dimaklumkan syarikat pengurusannya.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kes terhadap pemain berusia 23 tahun itu, yang baru-baru ini menandatangani kontrak untuk kelab liga utama Jerman, Mainz, telah digugurkan berhubung insiden yang didakwa pada 14 Julai.

Laporan media Jerman memetik sumber yang tidak dinamakan sebagai berkata bahawa tiada pertuduhan akan difailkan terhadap pemain bola sepak itu.

"Saya memohon maaf ikhlas kepada mangsa atas tindakan saya yang menyebabkan masalah besar," kata Sano dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh syarikat pengurusannya pada hari Isnin, hari yang sama dengan pembebasannya.

“Saya memandang serius akibat daripada tindakan saya dan akan berusaha untuk memulihkan kepercayaan,” katanya dipetik sebagai berkata.

Pemain tengah itu dan dua rakannya, juga berusia 20-an, didakwa melakukan serangan seksual terhadap wanita itu di sebuah hotel di Tokyo, lapor media Jepun.

Sano, yang telah membuat empat penampilan untuk Jepun dan merupakan sebahagian daripada skuad pada Piala Asia tahun ini di Qatar, menandatangani kontrak bersama Mainz awal bulan ini dari Kashima Antlers.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE