fb fb fb fb fb

Sarawak sahkan dua acara sukan digugurkan pada SUKMA ke-21

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah/Foto fail BERNAMA

KUCHING, 6 April - Dua acara sukan membabitkan acara wanita digugurkan daripada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Bumi Kenyalang, Ogos ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata dua acara tersebut adalah acara futsal wanita dan terjun 10 meter (m) platform wanita.

Jelasnya kedua-dua acara tersebut tidak dipertandingkan kerana kurang mendapat respon daripada negeri-negeri lain dan hanya empat negeri yang menghantar penyertaan.

Walaupun sedikit terkilan dengan keputusan itu, beliau berkata sebagai tuan rumah tahun ini, Sarawak terpaksa akur dengan keputusan daripada Jawatankuasa Teknikal Khas SUKMA.

“Saya sedih juga kerana itu (10 m platform wanita) adalah salah satu daripada acara yang boleh memberi emas kepada Sarawak tetapi kini kita dimaklumkan hanya empat negeri sahaja yang mahu bertanding.

“Acara futsal wanita juga hanya empat negeri yang mahu menghantar wakil, kadang-kadang sukan yang melibatkan ramai pemain dan negeri tertentu tidak yakin capai podium finish mereka tidak akan hantar wakil kerana melibatkan kos,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Juh Berambeh Sungkei di Padang Merdeka di sini, hari ini.

Setakat ini, Temasya SUKMA Sarawak Edisi ke-21 yang bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos akan datang mempertandingkan 37 jenis sukan dengan 484 acara.

GRACE AISYAH KEDAYAN