fb fb fb fb fb

Sarawak pertama anjur kejohanan pickleball peringkat negeri

Foto RTM

MIRI, 29 Oktober- Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia menganjurkan kejohanan pickleball peringkat negeri untuk Kejohanan Terbuka Pickleball Sarawak 2024 yang akan berlangsung pada 22 hingga 24 November 2024 di Miri.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kejohanan ini menandakan komitmen pihak persatuan untuk memupuk bakat tempatan dan mempamerkan Sarawak sebagai hab yang berkembang maju untuk acara sukan.

"Acara ini mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Persatuan Pickleball Malaysia serta Persatuan Pickleball Sarawak sebagai penganjur dan badan pengelola utama kejohanan ini.

"Sebanyak tujuh kategori dipertandingkan iaitu perseorangan lelaki dan wanita terbuka; beregu lelaki dan wanita terbuka; beregu campuran pertengahan; beregu campuran utama terbuka dan beregu campuran terbuka. Ia menawarkan hadiah wang tunai antara RM2,000 hingga RM4,000 kepada juara dalam setiap kategori berserta pingat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Kira-kira 300 hingga 350 pemain, termasuk profesional dari Hong Kong dan Taiwan, dijangka mengambil bahagian dengan lebih 200 atlet sudah berdaftar.

Kejohanan ini terbuka kepada peserta berumur 13 tahun ke atas dan pendaftaran masih diteruskan.

Turut hadir, Presiden Persatuan Pickleball Malaysia, Farell Choo dan Presiden Persatuan Pickleball Sarawak, Delima Ibrahim.

Trainee2