fb fb fb fb fb

Salah kembali berlatih, spekulasi penghijrahan semakin memuncak

Foto REUTERS

LIVERPOOL, 8 Disember – Bintang sensasi Liverpool, Mohamed Salah kembali berlatih bersama skuad The Reds pada Isnin menjelang aksi penting Liga Juara-Juara menentang Inter Milan, namun laporan media Britain menyatakan bahawa beliau tidak dijangka disenaraikan untuk perlawanan tersebut.

Salah, 33, menyertai sesi latihan terakhir sebelum pasukan berlepas ke Itali bagi pertemuan di San Siro pada Selasa, namun situasi tegang antara beliau dan ketua jurulatih, Arne Slot, terus menimbulkan spekulasi mengenai masa depannya di Anfield.

Ketegangan itu memuncak selepas keputusan seri 3-3 menentang Leeds United pada Sabtu, apabila Salah secara terbuka menegur pengurusan pasukan, mendakwa dirinya dijadikan kambing hitam atas permulaan hambar Liverpool musim ini.

0812 SKN LNR CHAMPIONS INT LIV 2Foto REUTERS

Beliau turut mengakui hubungannya dengan Slot telah “retak sepenuhnya”, sambil memberi bayangan bahawa kariernya di kelab itu mungkin semakin menuju penghujung.

Sepanjang lapan tahun bersama Liverpool, Salah muncul antara legenda moden kelab tersebut, menjaringkan 250 gol dalam semua pertandingan dan membantu merangkul dua gelaran Liga Perdana.

Sejak menyertai kelab itu dari AS Roma pada 2017, beliau kini menjadi penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah Liverpool, hanya dibelakangi Ian Rush dan Roger Hunt.

Dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini, Liverpool menduduki tangga ke-13 dengan mengumpul sembilan mata daripada lima perlawanan, manakala Inter Milan berada di kedudukan keempat dengan 12 mata. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN