KUALA LUMPUR, 31 Oktober-Skuad hoki lelaki negara disingkirkan daripada Proram 'Road To Gold' selepas gagal mencapai sasaran memenangi pingat emas Sukan Asia Hangzhou baru-baru ini.
Prestasi hambar itu menyaksikan 'Speedy Tigers kini tercicir ke ranking ke-12 dunia.
Pengurus pasukan hoki lelaki negara, Datuk Mirnawan Nawawi berkata peluang untuk kembali tersenarai masih terbuka sekiranya skuad kendalian Arul Selvaraj itu berjaya melepasi pusingan kelayakan Olimpik Paris Januari depan.
"Selepas Sukan Asia di Hangzhou, kita telah terkeluar dari kedudukan 10 terbaik.
"Saya berharap para pemain dapat melakukan yang terbaik untuk layak ke Olimpik kerana kita akan bermain pada pusingan kelayakan Januari tahun depan", katanya yang ditemui di sini.
Dalam pada itu, nasib sama turut dialami dua beregu campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang digugurkan ekoran prestasi tidak meyakinkan sepanjang tahun ini.
Sementara itu, atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menerima suntikan semangat baharu bagi memburu tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas namanya disenaraikan dalam program RTG.
Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu menjadi atlet terbaharu disenaraikan dalam program itu.
Aniq menepati kriteria kelayakan selepas berada dalam kedudukan 10 terbaik ranking Olimpik.