KUALA NERUS, 12 Oktober – Kelantan mara ke separuh akhir Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi ke-41 selepas menewaskan Terengganu 55-38 dalam aksi suku akhir yang penuh sengit di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Gong Badak, pada Sabtu.
Kedua-dua pasukan bermula agresif sejak wisel pertama.
Kelantan terlebih dahulu mendapat mata menerusi try oleh pemain import, Tomasi Lagikula Vunibola, pada minit ke-12.
Mohamad Khairul Abdillah Ramli, menjadikan kedudukan 7–0 selepas berjaya menyempurnakan tendangan conversion buat Kelantan.
Pasukan tuan rumah, Terengganu kembali bangkit menerusi try yang berjaya disudahkan oleh ketua pasukan, Mohamad Nasharuddin Ismail sebelum menyamakan kedudukan 7-7 menerusi conversion oleh Muhammad Isma Iskandar Zali.
Kelantan kembali di depan sebelum rehat menerusi penalti oleh oleh Muhammad Nazreen Fitri Nasrudin, sebelum menambah dua lagi try masing-masing oleh Sairusi Vunisa dan Muhammad Alif Aiman Abd Majid untuk menjadikan kedudukan 28-17.
Bersambung babak kedua, Terengganu kembali dengan dua try daripada Vibote Viliame dan Muhammad Haikal Ibrahim dan tendangan conversion bagi menyamakan kedudukan.
Namun, kesilapan di bahagian pertahanan memberi ruang kepada Kelantan menambah dua lagi try pada minit ke-65 dan 70, termasuk jaringan penutup oleh Muhammad Nazreen Fitri, sekali gus mengesahkan kemenangan 55–38 buat pasukan pelawat.
Ketua jurulatih Kelantan, Syed Shazril Syed Mahadzir, berkata kemenangan tersebut adalah hasil disiplin dan semangat berpasukan tinggi yang ditunjukkan anak-anak buahnya.
“Kita bermula garang, tapi bila kita ‘reset’ balik di separuh masa kedua dan dengar semula arahan, akhirnya keputusan berpihak kepada pasukan Kelantan.
Kita cuba bermain menggunakan kekuatan yang ada dan ternyata itu menjadi senjata utama untuk perlawanan kali ini. Saya juga ingin puji barisan 'Forward' yang memberikan usaha seratus peratus untuk menewaskan Terengganu,” katanya yang ditemui pemberita selepas perlawanan.
Sementara itu, ketua jurulatih Terengganu, Aminuddin Sulong, tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya yang berjaya melepasi sasaran ditetapkan persatuan ragbi negeri.
“Sasaran kami memang untuk mara ke suku akhir, jadi KPI itu sudah tercapai. Walaupun tewas hari ini, saya bangga dengan semangat juang pemain muda yang tidak mengalah hingga ke wisel penamat.
Mereka terus berusaha membalas setiap serangan lawan dan kekal berjuang hingga ke akhir perlawanan,” katanya.
Kemenangan tersebut membolehkan pasukan Kelantan bertemu dengan PDRM pada saingan separuh akhir 18 Oktober ini.