SHAH ALAM, 9 Mei - Pemain sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC (SFC), Faisal Halim yang cedera disimbah asid perlu mendapatkan perubatan dari luar negara bagi merawat lecur tahap empat yang dialaminya.
Ketua Perubatan Sukan SFC, Dr Muhammad Hazwan Khair berkata ia sebahagian daripada prosedur untuk membantu dan mempercepatkan pemulihan kulit.
Beliau berkata, ubat yang perlu dibawa masuk dari luar negara itu dipanggil 'skin allograft' dan digunakan sebagai prosedur untuk membantu dan mempercepat pemulihan.
“Mengikut pakar bedah prosedur itu dalam minggu ini, akan ada prosedur lanjutan. Ia lapisan kulit memang perlu dibawa masuk,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di sini, pada Rabu.
Tambah Muhammad Hazwan, dari aspek kecederaan yang dialami di bahagian otot pula ia akan dilakukan dalam sesi pemulihan berikutnya.
Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.