fb fb fb fb fb

Piala Dunia Kabaddi Pantai, undian berpihak kepada Malaysia

Foto Facebook World Cup Kabaddi

KUALA LUMPUR, 24 Ogos - Malaysia dijangka tidak berdepan masalah besar dalam saingan untuk kategori lelaki dan wanita pada edisi pertama Piala Dunia Kabaddi Pantai yang dijadual berlangsung di Port Dickson, Negeri Sembilan dari 23 hingga 28 September depan.

Bagi kategori wanita, Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Tanzania, Hungary dan China.

Malaysia dan Tanzania dijangka berpeluang mara ke pusingan seterusnya, manakala Sri Lanka diramal mendominasi Kumpulan B selepas diundi bersama Kenya, England dan Argentina.

Kumpulan C untuk kategori wanita juga bakal menjanjikan aksi menarik apabila pasukan India dan Pakistan diundi bersama Hong Kong dan Belanda.

Untuk kategori lelaki, Malaysia turut dilihat tidak menghadapi masalah pada peringkat kalah mati selepas diundi dalam Kumpulan B bersama Hong Kong, Burundi dan Azerbaijan.

Pasukan pilihan kejohanan, India diundi dalam Kumpulan C bersama Kenya, Argentina, Nepal dan Filipina, manakala Pakistan berada dalam Kumpulan A bersama Tanzania, Amerika Syarikat, Hungary dan Afghanistan.

Sementara itu, Sri Lanka akan bersaing dalam Kumpulan D bersama England, Kanada, Sierra Leone dan China. - BERNAMA

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE