fb fb fb fb fb

Persiapan hadapi tiga kejohanan penting, Nafuzi buru pemain berpotensi

Foto FB FAM

KUALA LUMPUR, 28 Januari- Pemain muda negara sudah mula dipantau sejak awal bulan ini untuk diserap ke dalam skuad bawah 23 tahun negara.

Perkara itu didedahkan ketua jurulatih, Nafuzi Zain dalam temu bual yang disiarkan di Youtube Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC itu menjelaskan ia sebagai persiapan untuk mengumpulkan pemain bagi menghadapi tiga kejohanan penting tahun ini.

Nafuzi turut memasang impian besar untuk cipta kejayaan biarpun ini kali pertama diberi tanggungjawab mengemudi pasukan di peringkat kebangsaan.

"Saya terbuka untuk mana-mana pemain. Mungkin juga mencari peluang untuk pemain baharu, panggilan bakat baharu dan juga pemain sedia ada.

Jadi, mereka yang menunjukkan prestasi terbaik, insya-Allah akan berada dalam pasukan," kata Nafuzi.

Nafuzi turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di atas kepercayaan yang diberikan.

"Ini adalah peluang yang terbaik untuk saya meneruskan karier di peringkat kebangsaan dan insya-Allah dengan peluang yang diberikan ini, saya akan buat yang terbaik," tambah Nafuzi.

Tiga misi penting yang bakal dihadapi skuad Harimau Muda negara tahun ini adalah Kejuaraan Bawah 23 Tahun ASEAN, Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun 2026 dan Sukan SEA.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM