fb fb fb fb fb

Pengadil tidak berniat sepak pemain, hanya tindak balas spontan

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 26 Julai- Insiden membabitkan pengadil, Suhaizi Shukri dan pemain Selangor FC, Muhammad Fazly Mazlan pada suku akhir Piala FA hanyalah tindak balas spontan.

Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagaimanapun tetap memberi amaran keras kepada Suhaizi supaya tidak mengulangi tindakan seumpama itu.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata susulan insiden di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah Sabtu lalu, Suhaizi telah membuat permohonan maaf kepada FAM, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan semua peminat bola sepak.

Berdasarkan keterangan Suhaizi kepada Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil, insiden itu adalah tindak balas spontan beliau mengangkat kaki, tanpa niat untuk menyepak Muhammad Fazly, meskipun laporan berfoto dan video yang tular kelihatan seolah-olah beliau menyepak pemain berkenaan.

Pengadil perlawanan juga menegaskan ketika kejadian, beliau tidak mengenakan sebarang hukuman lanjut kepada pemain itu yang memijak kaki pengadil, kerana beliau anggap tindakan pemain itu tidak disengajakan.

FAM menyifatkan Suhaizi sebagai pengadil yang cukup berpengalaman dengan pernah bergelar pengadil FIFA bermula 2011, selain tidak pernah dikenakan sebarang tindakan disiplin atau melakukan kesilapan besar dalam aksi di peringkat domestik dan antarabangsa.

(Mohd Saifuddin Abu Bakar)

Media Baharu