fb fb fb fb fb

Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif FAM: Senarai calon diumum hujung Januari

Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 dijadualkan berlangsung pada 15 Februari depan / Foto Fail

KUALA LUMPUR, 27 Disember – Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029 dijadualkan berlangsung pada 15 Februari depan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata notis kongres dan borang pencalonan telah dihantar kepada semua ahli gabungan badan induk itu.

Tarikh akhir untuk pencalonan ditetapkan pada 16 Januari 2025, dengan senarai calon yang layak bertanding akan diumumkan selewat-lewatnya hujung Januari selepas melalui proses tapisan integriti.

Katanya, pemilihan kali ini turut menyaksikan perubahan besar dalam kepimpinan tertinggi badan induk tersebut.

Awal bulan ini, Tan Sri Hamidin Mohd Amin mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden FAM, yang telah disandangnya sejak Julai 2018.

Sementara itu, pemerhati sukan, Asan Ahmad menyatakan harapannya agar bakal Presiden baharu FAM memberi tumpuan kepada program pembangunan pemain tempatan.

Ini penting bagi memastikan negara tidak ketandusan bakat pemain tempatan.

Asan turut menyeru agar sistem pengurusan liga diperbaiki untuk meningkatkan daya saing serta menarik lebih banyak penyertaan penaja.

“Saya berharap presiden baharu nanti dapat memastikan saingan liga tempatan menjadi platform melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti tinggi,” katanya.

Dengan pemilihan yang semakin hampir, pemimpin baharu FAM dijangka membawa visi dan strategi baharu untuk memacu perkembangan bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN